Hampir 5,000 anggota polis ditugaskan pada PRN Johor – KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, kira-kira lima ribu anggota dan pegawai akan ditugaskan di negeri Johor.

“Di negeri Johor, saya difahamkan Polis Kontinjen Johor, memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang, dengan mengambil kira keluasan negeri Johor yang begitu besar dengan jumlah lebih kurang 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Sehubungan itu PDRM akan mengawasi semua tempat-tempat undian, saluran-saluran yang telah ditetapkan dengan kekuatan yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Perangi Scam ‘Dua Pasukan Satu Matlamat’ di sini, hari ini.

12 Jun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun manakala hari mengundi awal 7 Julai manakala hari mengundi 11 Julai.

Bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos depan.

PRN Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRN Negeri Sembilan dianggarkan memerlukan RM80.6 juta.

SUMBER : TV3