Prestasi perdagangan Mei 2026 dijangka kekal positif – MATRADE

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia bagi Mei 2026 dijangka terus mencatat pertumbuhan positif meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan krisis Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof, berkata gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik memberi kesan kepada perdagangan global, namun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengeksport tempatan masih menunjukkan daya tahan yang tinggi, disokong oleh permintaan luar yang kukuh.

“Kalau kita mengikutkan prestasi empat bulan pertama tahun ini, insya-Allah ia akan menunjukkan prestasi yang agak baik bagi Mei ini.

“Jadi, kita tunggu pengumuman pada 19 Jun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang akan mengumumkan prestasi perdagangan dan eksport Malaysia bagi Mei tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2026 yang dijadual berlangsung di Bangkok pada 8 hingga 10 Julai ini.

Tambahnya, permintaan yang memberangsangkan bagi produk dan industri utama seperti elektronik, semikonduktor, peralatan optik dan saintifik serta gas asli cecair (LNG) telah menyokong prestasi perdagangan negara sepanjang empat bulan pertama tahun ini dan dijangka berterusan.

Jelasnya lagi, Malaysia mencipta rekod baharu apabila jumlah perdagangan negara melonjak kepada RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026, sekali gus menjadi pencapaian terpantas negara melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Mengulas mengenai industri peranti perubatan, Abu Bakar berkata negara kini mengeksport peranti perubatan bernilai antara RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun.

“Tetapi kita merasakan bahawa potensi untuk syarikat tempatan mengembangkan lagi perdagangan eksport itu masih terbuka luas.

“Bukan itu sahaja, malah terdapat peluang untuk syarikat tempatan mempelbagaikan produk yang dieksport,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia yang kini banyak mengeksport sarung tangan getah serta peralatan perubatan pakai buang perlu memperluaskan eksport kepada produk peranti perubatan dan penjagaan kesihatan bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing sektor berkenaan.

Sektor peranti perubatan dikenal pasti sebagai antara lima kluster keutamaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Sehubungan itu, beliau berkata masih terdapat ruang yang luas untuk syarikat tempatan membangunkan produk berasaskan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT).

Pasaran peranti perubatan Asia Pasifik dianggarkan bernilai AS$127.6 bilion pada 2025 dan dijangka hampir berganda dalam tempoh sedekad akan datang. Pada masa sama, pasaran teknologi perubatan Asia Tenggara dijangka berkembang pada kadar 7.31 peratus setahun untuk mencapai nilai AS$18.6 bilion menjelang 2029.

SUMBER : TV3