Amah Indonesia tular dipukul majikan, dituduh bertindak kasar, tarik rambut, tangan budak usia setahun

JOHOR BAHRU: Wanita warga Indonesia dalam rakaman video yang tular apabila dipapar dicederakan majikan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendedahkan anak majikannya itu kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.

Yulia Arnida, 34, didakwa di hadapan Hakim Madihah Zainol mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun ketika kejadian kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala kanak-kanak itu terangkat, selain menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.

Wanita berkenaan yang didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada petang 21 Disember lalu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Manushri Sutakhar mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi kes berkenaan.PlayNextMute

Peguam, Jason Tan Ka Yan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin lebih rendah atas alasan mempunyai tanggungan dua anak berusia tujuh dan lapan tahun yang masih bersekolah di Bandar Acheh, Indonesia, selain ibu bapa yang uzur.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan selepas peguam memaklumkan Yulia tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport miliknya berada di tangan pihak ketiga.

Madihah kemudian memerintahkan wanita itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara untuk tertuduh daripada Kerajaan Indonesia.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Jun ini bagi serahan dokumen.

Dalam kes berkaitan di Mahkamah Majistret, dua pasangan suami isteri didakwa mencederakan Yulia pada 22 Disember lalu.

Muhamad Firdaus Sha’aban dan isteri, Nurafiqah Nabila Hazhar, masing-masing berusia 33 tahun serta Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isteri, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Yulia di sebuah rumah dekat Jalan Ledang, Tampoi di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada tarikh berkenaan.

Bagi perbuatan mendatangkan kecederaan, keempat-empat itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.