Johor dapat peruntukan RM14.6 bilion sepanjang pentadbiran Anwar – Saifuddin

TANGKAK: Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan kononnya Johor tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya negeri itu menerima peruntukan pembangunan yang lebih tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berdasarkan semakan dibuat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM14.6 bilion ketika ini, berbanding RM10.2 bilion sebelum Anwar menerajui pentadbiran.

“Ini menunjukkan dakwaan Johor diabaikan adalah tidak berasas. Kalau ada mengatakan Johor tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya kita jawab dengan fakta.

“Apabila semak dengan ICU, Johor menerima RM10.2 bilion. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, jumlah itu meningkat kepada RM14.6 bilion,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Bukit Gambir, di sini malam ini.

Saifuddin berkata, angka terbabit perlu dijadikan jawapan oleh jentera PH sekiranya isu peruntukan kepada Johor dibangkitkan sepanjang kempen PRN nanti.PauseNextMute

Dalam pada itu itu, beliau turut menjawab kritikan mengenai kelewatan pelaksanaan projek pembangunan termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

Katanya, projek sepanjang enam kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands itu diumumkan sejak era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak berjalan mengikut perancangan pada beberapa pentadbiran selepas itu.

“Di bawah Kerajaan MADANI, pelbagai isu termasuk berkaitan tanah dan perancangan berjaya diselesaikan sehingga projek ini dijadualkan beroperasi pada hujung tahun ini.

“Kita tidak melambatkan pembangunan. Sebaliknya, kita yang menyelesaikan masalah dan memastikan projek itu dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau mengingatkan jentera parti supaya kekal fokus terhadap isu yang dibawa lawan politik dan menjawabnya berdasarkan data serta fakta yang sahih.