Israel letupkan terowong, serang selatan Lubnan

BEIRUT: Tentera Israel memusnahkan sebuah terowong yang luas di selatan Lubnan semalam, sementara media kerajaan Lubnan melaporkan beberapa serangan di kawasan itu.

Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran menegaskan pihaknya berhak memberi tindak balas terhadap serangan berkenaan.

Kes itu berlaku walaupun Lubnan dan Israel sudah menandatangani perjanjian rangka kerja tiga pihak yang ditaja Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat bagi membuka jalan ke arah keamanan antara kedua-dua negara serta melucutkan senjata Hizbullah.

Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan melaporkan beberapa serangan semalam termasuk di bandar Nabatieh di selatan negara itu.

Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan dua individu cedera akibat bom gegaran (stun grenade) yang dilepaskan Israel di selatan Lubnan.

“Terowong sepanjang lebih 200 meter dan sedalam lebih 25 meter itu mengandungi ratusan senjata serta beberapa pelancar yang bertujuan menyerang Israel dan orang awamnya.

“Israel telah memaklumkan kepada AS serta wakil AS di Lubnan terlebih dahulu sebelum memusnahkan infrastruktur itu,” kata Katz dan Netanyahu dalam satu kenyataan bersama.

Dalam pada itu, seorang wartawan AFP di bandar pesisir Tyre, kira-kira 10 kilometer dari lokasi letupan berhampiran perkampungan Majdal Zoun, melihat kepulan asap menjulang tinggi dari kawasan berkenaan.

Penyokong Hizbullah menyekat jalan lama menuju lapangan terbang di pinggir selatan Beirut dengan membakar tayar sebagai tanda membantah perjanjian tiga pihak yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Lubnan. - Foto AFP
Penyokong Hizbullah menyekat jalan lama menuju lapangan terbang di pinggir selatan Beirut dengan membakar tayar sebagai tanda membantah perjanjian tiga pihak yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Lubnan. – Foto AFP

Beliau berkata, penduduk di beberapa bandar di selatan Tyre meninggalkan kawasan itu selepas media Lubnan melaporkan Israel mungkin akan meletupkan bahan letupan berhampiran.

Tentera Israel berkata, seorang anggotanya ‘terkorban dalam pertempuran’ di selatan Lubnan, sebelum kemudian mengumumkan mereka membunuh seorang ‘pengganas Hizbullah’ yang bertempur dengan tenteranya.

Hizbullah sejak awal lagi membantah rundingan dengan Israel dan menolak sebarang perjanjian.

Semalam, wartawan AFP melihat papan tanda bertulis ‘Lubnan Didahulukan’ dibakar di sepanjang jalan menuju Lapangan Terbang Beirut yang bersempadan dengan pinggir selatan bandar itu, kubu kuat Hizbullah, selepas papan iklan sebelum ini yang memaparkan slogan ‘Terima kasih Iran’ diturunkan.

Ahli Parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah, berkata apa yang dilakukan pihak berkuasa ‘satu hasutan yang bertujuan menolak negara ke arah huru-hara serta mengalihkan konflik daripada pertikaian dengan musuh kepada konflik dalaman’.

Speaker Parlimen Lubnan dan sekutu Hizbullah, Nabih Berri, berkata perjanjian itu tidak akan diluluskan’ dalam bentuk sedia ada kerana disifatkan sebagai paksaan yang gagal memelihara ‘hak Lubnan’.

Beliau berikrar akan menentangnya melalui saluran politik dan memberi amaran terhadap kemungkinan tercetusnya perbalahan dalaman.

“Ia sepuluh kali lebih buruk daripada Perjanjian 17 Mei 1983,” katanya merujuk kepada kali terakhir Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian damai yang kemudiannya dibatalkan susulan tekanan daripada Syria serta sekutunya di Lubnan.

Hizbullah berulang kali menggesa pihak berkuasa Lubnan mengaitkan rundingan negara itu dengan rundingan Iran bagi menamatkan perang dengan AS, manakala Tehran menegaskan sebarang gencatan senjata bagi perang di Asia Barat perlu turut merangkumi Lubnan. – AFP