JAKARTA: Bekas menteri pendidikan Indonesia, Nadiem Anwar Makarim dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan rasuah dalam kes yang melibatkan perolehan komputer riba Chromebook di bawah program pendigitalan pendidikan negara itu.
Mahkamah Rasuah Jakarta Pusat memutuskan Nadiem menyalahgunakan kuasanya dalam perolehan komputer riba Chromebook dan sistem Pengurusan Peranti Chrome oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi antara 2019 dan 2022, menyebabkan kerugian negara sebanyak Rp1.56 trilion (Rp1 juta = RM227.4).
Mahkamah turut mengenakan denda Rp1 bilion, dengan hukuman penjara gantian selama 190 hari jika tidak dibayar, dan memerintahkan Nadiem membayar ganti rugi Rp809.59 bilion atau berdepan hukuman penjara tambahan lima tahun, menurut Agensi Berita Antara.
Agensi berita nasional itu melaporkan mahkamah memutuskan Nadiem, yang mengasaskan syarikat pengangkutan Indonesia Gojek sebelum menyertai Kabinet, menerima Rp809.59 bilion menerusi PT Aplikasi Karya Anak Bangsa.
Menurut mahkamah, kebanyakan dana syarikat itu berasal daripada pelaburan AS$786.99 juta (AS$1=RM4.06) oleh Google.
Mahkamah juga mendapati kesalahan itu dilakukan bersama empat individu lain, tiga daripadanya telah disabitkan dalam perbicaraan berasingan, manakala seorang lagi suspek masih diburu.
Hukuman 10 tahun itu lebih ringan berbanding permintaan pendakwa untuk penjara 18 tahun, bersama denda Rp1 bilion dan ganti rugi Rp5.67 trilion.

