New Delhi haramkan trak kecil, skuter baharu untuk tangani pencemaran udara

NEW DELHI: Ibu negara India, New Delhi, akan melarang pendaftaran motosikal baharu serta trak kecil yang menggunakan petrol atau gas asli untuk tempoh dua tahun akan datang bagi mengurangkan pencemaran udara.

Ketua Menteri New Delhi, Rekha Gupta, berkata kerajaan hanya akan mengeluarkan nombor pendaftaran kepada trak kecil elektrik dan kenderaan pengangkutan penumpang tiga roda bermula 1 Januari 2027, manakala motosikal elektrik mulai 1 April 2028.

Keputusan itu dibuat selepas Kabinet meluluskan dasar kenderaan elektrik (EV) bernilai AS$2.05 bilion (RM8.32 bilion).

Di bawah dasar berkenaan, kereta elektrik dan kenderaan utiliti berharga sehingga tiga juta rupee (RM129,000) akan dikecualikan daripada cukai jalan serta bayaran pendaftaran.

Setiap musim sejuk, suhu rendah menyebabkan asap daripada kenderaan, kerja pembinaan dan pembakaran sisa tanaman terperangkap, menyebabkan ruang udara New Delhi berubah menjadi kelabu akibat pencemaran.PlayNextMute

Menurut kerajaan negeri, pelepasan asap daripada kenderaan menyumbang kira-kira 23 peratus pencemaran udara di bandar berkenaan.

Ketua Eksekutif pengeluar skuter elektrik Ather Energy, Tarun Mehta, berkata dasar berkenaan adalah antara langkah terbesar peringkat bandar di India untuk mempercepat penggunaan kenderaan elektrik.

“Apa yang menonjol bukan hanya jumlah pelaburan, tetapi bagaimana dasar ini dirangka. Gabungan insentif, kewajipan peralihan kepada kenderaan elektrik secara berperingkat serta kemudahan pengecasan mewujudkan asas yang sangat kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, langkah berkenaan dijangka memberi tekanan kepada pengeluar kenderaan kerana mereka perlu meningkatkan pengeluaran motosikal elektrik, rangkaian jualan serta kemudahan pengecasan dalam tempoh singkat.

Menurut laporan Autocar, persatuan pengeluar automotif terbesar India sebelum ini membantah cadangan itu selepas deraf dasar dikeluarkan pada April.

Di bawah dasar baharu itu, mulai Julai, pembeli kenderaan elektrik akan menerima bantuan termasuk subsidi 30,000 rupee (RM1,257) bagi pembelian motosikal elektrik pada tahun pertama dan 50,000 rupee (RM2,106) untuk kenderaan tiga roda elektrik.

Kenderaan hibrid tidak layak menerima subsidi, manakala trak kecil elektrik akan menerima bantuan 100,000 rupee (RM 4,228) pada tahun pertama.

Dasar itu turut menyediakan sehingga 100,000 rupee untuk pelupusan kenderaan lama bagi pembelian EV merangkumi pelbagai kategori kenderaan.

Walaupun industri EV berkembang pesat, penggunaannya masih kecil berbanding keseluruhan sektor automotif India.

New Delhi ialah antara pasaran EV terbesar di negara itu dan menjadi peneraju dalam penggunaan awal kenderaan elektrik. – AGENSI