TEHRAN – Timbalan Menteri Luar Iran mengecam keras mesyuarat keselamatan yang dianjurkan oleh Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) di Bahrain, sambil menegaskan bahawa Selat Hormuz berada di bawah bidang kuasa Iran dan bukannya CENTCOM.
Lapor IRNA, Kazem Gharibabadi, Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Antarabangsa yang juga Ketua Perunding Iran, dalam satu hantaran di platform X berkata, mesyuarat ketenteraan di Bahrain tidak boleh mewujudkan susunan undang-undang atau keselamatan bagi rantau Teluk Parsi.
Beliau menegaskan, keselamatan serantau hanya boleh dicapai melalui pengunduran Amerika Syarikat dari rantau itu, penghentian campur tangan asing, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta penerimaan realiti geopolitik baharu, bukannya di bawah naungan ketenteraan Washington.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pengumuman CENTCOM bahawa ia telah menganjurkan mesyuarat keselamatan bersama pegawai tentera dari 11 negara Timur Tengah di bawah naungan Pasukan Pertahanan Bahrain.
Menurut CENTCOM, Panglimanya, Jeneral Brad Cooper bersama pegawai kanan tentera dari Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Lebanon, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman membincangkan situasi keselamatan serantau serta peluang memperluas kerjasama pertahanan.
CENTCOM turut mendakwa, peserta mesyuarat itu menegaskan komitmen bersama terhadap kelancaran aliran perdagangan melalui Selat Hormuz, laluan maritim yang menurut Iran berada sepenuhnya di bawah kuasanya dan bukan Washington. – MalaysiaGazette

