POLEMIK yang melabel saluran terbuka ke universiti awam sebagai “pintu belakang” berpunca daripada salah faham terhadap pelaksanaan dasar sehingga menimbulkan persepsi mengelirukan mengenai integriti sistem kemasukan ke universiti awam (UA).
Hakikatnya, saluran terbuka bukan mekanisme mengkomersialkan UA atau memberi kelebihan kepada golongan berkemampuan. Sebaliknya, ia diperkenalkan sebagai antara beberapa pilihan dasar untuk memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi, memastikan kelestarian kewangan institusi serta memberi lebih ramai rakyat peluang melanjutkan pengajian tanpa mengorbankan prinsip merit, kualiti akademik dan keadilan sosial.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata saluran terbuka tidak seharusnya dilihat sebagai satu-satunya mekanisme memperluaskan akses pendidikan tinggi, sebaliknya hanya satu daripada beberapa pilihan dasar bagi memastikan institusi pengajian tinggi terus memenuhi tanggungjawabnya ketika sumber kewangan negara terhad.
Katanya, cabaran sebenar bukan sekadar mekanisme kemasukan pelajar, tetapi bagaimana UA dapat terus menyediakan pendidikan berkualiti ketika permintaan meningkat sedangkan kemampuan kewangan kerajaan mempunyai batasan.
“Isu akses kepada pendidikan sentiasa menjadi antara agenda utama negara sejak merdeka, sama ada di peringkat pendidikan awal, sekolah mahupun pendidikan tinggi.
“Persoalannya ialah sejauh mana kerajaan mampu dan bersedia menyediakan akses pendidikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam Bicara Persada “Pintu Belakang ke IPTA?: Menjernihkan Kekaburan” anjuran MINDA-UKM, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi UKM.
Noor Azlan berkata, Malaysia memilih pendekatan memberikan subsidi pendidikan yang besar, malah peruntukan pendidikan sentiasa menjadi antara yang tertinggi dalam Belanjawan negara.
“Tanggungjawab menjayakan agenda pendidikan tinggi tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pembabitan serta sokongan semua pihak kerana pendidikan adalah pelaburan penting dalam pembangunan negara.
“Pendekatan itu turut diamalkan di beberapa negara maju seperti Jerman yang menyediakan pendidikan universiti secara percuma bukan sahaja kepada rakyat tempatan, malah kepada pelajar antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, saluran terbuka bukan satu-satunya pilihan bagi menjamin kelestarian pembiayaan pendidikan tinggi kerana pelbagai mekanisme lain boleh dipertimbangkan, termasuk dana khas yang disumbangkan sektor korporat untuk pembangunan universiti awam.
Menurutnya, setiap universiti mempunyai pendekatan tersendiri menjana pendapatan, namun apa juga model yang dipilih, keutamaan perlu terus diberikan kepada golongan berpendapatan rendah supaya akses kepada pendidikan tinggi berkualiti kekal terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pelaksanaan saluran terbuka tidak pernah menjejaskan hak atau mengurangkan kuota kemasukan pelajar melalui laluan utama Unit Pengambilan Universiti (UPU).
“Saluran terbuka tidak pernah mengambil hak atau kuota sedia ada dan pada tahun lalu, pengambilan perdana meningkat kira-kira 8,000 pelajar, manakala tahun ini kerajaan mengarahkan pertambahan lebih 3,000 tempat bagi kursus kritikal seperti undang-undang, kecerdasan buatan (AI) dan perakaunan.
“Ini membuktikan saluran terbuka tidak pernah mengambil tempat atau hak mana-mana pelajar termasuk golongan kurang berkemampuan.
“Mungkin, seperti mana-mana dasar baharu, tidak terlepas daripada kelemahan dan ruang untuk ditambah baik.
“Namun, yang lebih penting ialah komitmen semua pihak untuk melakukan penambahbaikan secara berkala dan berterusan berdasarkan pengalaman serta keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, keberanian melakukan pembaharuan membolehkan sistem pendidikan tinggi Malaysia berkembang sehingga lima universiti tempatan kini berada dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia.
“Dulu universiti dianggap menara gading yang hanya boleh diakses segelintir individu. Hari ini kerajaan membuka ruang seluas-luasnya supaya lebih ramai rakyat mendapat peluang melanjutkan pengajian.
“Jika ada cadangan atau pandangan yang baik, kemukakan kepada kami. JKNCR sentiasa terbuka menerima idea baharu kerana matlamat kita ialah membangunkan pendidikan tinggi negara.
“Jangan rosakkan apa yang sudah dibina. Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan pendidikan tinggi kerana ia adalah asas penting kepada kemajuan negara dan mobiliti sosial rakyat,” katanya.
Sementara itu, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata kontroversi saluran terbuka perlu dilihat dalam konteks pembangunan sistem pendidikan tinggi negara secara menyeluruh.
Katanya, perkembangan pesat sektor itu bermula selepas kerajaan memperkenalkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang membuka ruang kepada pertumbuhan institusi pengajian tinggi swasta.
Menurutnya, tawaran program melalui saluran terbuka membolehkan universiti menjana pendapatan tanpa menjejaskan sistem kemasukan sedia ada.
“UPU diwujudkan bagi menyelaras pengambilan perdana mengikut keperluan tenaga kerja negara dan bukan mengambil alih kuasa universiti menentukan kemasukan pelajar.
“Kuasa Senat universiti masih kekal, begitu juga kawalan kualiti. UPU hanya menyelaras pengambilan supaya tidak berlaku pertindihan dan memastikan sasaran pengambilan mengikut keperluan negara dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata, semua pelajar yang diterima melalui saluran terbuka tetap perlu memenuhi syarat akademik serta piawaian kualiti yang sama.
“Semua permohonan melalui proses penilaian di peringkat fakulti, jawatankuasa akademik, Senat dan Lembaga Universiti. Program juga perlu mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), manakala kursus profesional tertakluk kepada badan profesional seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Tiada istilah pintu belakang. Semua laluan diproses oleh badan akademik yang sama dan tertakluk kepada piawaian yang sama,”katanya.

