JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta terus bekerjasama rapat dengan platform media sosial, bagi mengekang penyebaran maklumat palsu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini MCMC belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan provokasi di platform media sosial.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan tetap memberi perhatian terhadap risiko penyebaran maklumat palsu, khususnya pada malam pengundian dan semasa proses pengiraan undi.
“Yang kita agak risau ialah pada malam hari mengundi. Kita tidak mahu ada maklumat palsu mengenai keputusan atau siapa yang menang di sesuatu kerusi tersebar,” katanya di sini, hari ini.
Pihaknya turut memberi perhatian terhadap penyalahgunaan grafik yang menggunakan logo agensi media arus perdana bagi mengelirukan orang ramai.
Dalam pada itu, beliau menggesa lebih banyak platform media sosial menyertai Majlis Media Malaysia bagi membolehkan isu berkaitan kandungan tidak beretika diuruskan menerusi mekanisme kawal selia kendiri.
Menurutnya, penyertaan yang lebih meluas dalam majlis berkenaan penting kerana garis panduan platform antarabangsa lazimnya bersifat umum dan tidak mengambil kira konteks tempatan.
Katanya, pendekatan kawal selia kendiri yang lebih tersusun dapat membantu memperkukuh ekosistem media negara tanpa menjejaskan kebebasan media.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

