Kes denggi melonjak 34.8 peratus, 34 kematian direkodkan setakat semalam

KUALA LUMPUR – Sebanyak 42,848 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara setakat semalam iaitu peningkatan 34.8 peratus berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Malah, sekurang-kurangnya 34 kematian direkodkan, meningkat hampir 79 peratus berbanding 19 kematian pada tahun lepas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan kes dikesan di beberapa kawasan dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terus menjadi lokasi tumpuan penularan penyakit itu.

Menurut KKM, analisis epidemiologi menunjukkan hampir dua pertiga atau 63.5 peratus daripada keseluruhan kes demam denggi di Malaysia tertumpu di kedua-dua kawasan tersebut.

“Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 7,909 kes iaitu peningkatan sebanyak 83.8 peratus.

“Selain itu, peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata, situasi berkenaan menunjukkan Lembah Klang kekal sebagai kawasan utama penularan demam denggi dan memerlukan pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu.

Menurut kementerian itu, walaupun beberapa negeri merekodkan penurunan kes berbanding tempoh sama tahun lalu, semua negeri tidak boleh mengambil mudah kerana situasi demam denggi boleh berubah dengan cepat bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran dan cuaca.

KKM menjelaskan, peningkatan kes ketika ini adalah selaras dengan pola epidemiologi penyakit yang lazimnya bersifat berkitar dengan kebanyakan negara endemik berdepan peningkatan kes atau wabak besar setiap tiga hingga lima tahun.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan berkala itu ialah perubahan tahap imuniti penduduk, peralihan dominasi serotaip virus denggi, keadaan cuaca seperti hujan, suhu dan kelembapan yang menggalakkan pembiakan nyamuk aedes.

Selain itu, kepesatan urbanisasi, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, kewujudan bekas takungan air serta keberkesanan aktiviti kawalan vektor dan penglibatan masyarakat turut mempengaruhi penularan penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan demam denggi menerusi pendekatan ‘whole-of-nation’ berasaskan prinsip Pengurusan Vektor Bersepadu.

Pendekatan itu meliputi pengukuhan survelan penyakit dan entomologi, pengesanan awal peningkatan kes serta wabak, kawalan vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti, penguatkuasaan perundangan dan pemantauan berterusan terhadap keberkesanan intervensi.

KKM turut menyeru semua pihak termasuk komuniti, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan, sektor swasta dan orang ramai supaya bersama-sama memastikan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk aedes, melaksanakan aktiviti gotong-royong secara berkala serta mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami gejala demam denggi.

Tambahnya, pemantauan rapi terhadap situasi semasa akan diteruskan bagi mengurangkan penularan penyakit, mencegah komplikasi serta kematian dan melindungi kesihatan rakyat. – MalaysiaGazette