MIAMI: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menjalankan siasatan awal terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) serta Presidennya, Claudio Tapia berhubung dakwaan salah laku kewangan dan penipuan bank.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat kini memantau aliran dana bernilai lebih AS$300 juta (kira-kira RM1.4 bilion) yang disalurkan menerusi akaun perbankan di negara itu bagi menentukan sama ada wujud unsur pengubahan wang haram atau penipuan wayar.
Menurut laporan media La Nacion dan Terra, pendakwa raya persekutuan serta ejen FBI sudah mula mengambil keterangan berhubung operasi kewangan AFA di Amerika Syarikat.
Siasatan tertumpu kepada struktur perjanjian komersial antarabangsa AFA di bawah pimpinan Tapia serta hubungannya dengan TourProdEnter LLC, syarikat yang mengendalikan kutipan dana bagi kontrak luar negara badan induk bola sepak Argentina itu.
Pihak berkuasa turut mengesan jejak transaksi menerusi beberapa institusi kewangan termasuk Citibank, Bank of America dan JP Morgan.
Ketika Argentina mencatat kemenangan 3-2 ke atas Mesir pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia, pasukan penyiasat dilaporkan mengadakan persidangan video selama tiga jam bersama usahawan Guillermo Tofoni di Miami bagi mendapatkan maklumat berkaitan pentadbiran Tapia dan Bendahari AFA, Pablo Toviggino.
Fokus siasatan adalah bagi menentukan sama ada transaksi kewangan itu melanggar undang-undang persekutuan AS ketika Argentina melaksanakan kawalan mata wang yang ketat.
Sebagai reaksi terhadap siasatan itu, Duta AFA di Amerika Utara, Tomas Regalado menegaskan, setiap individu berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mengikut proses perundangan.
Beliau berkata, siasatan awal semata-mata tidak menentukan sebarang pertanggungjawaban atau kesalahan.
Setakat ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat belum memfailkan sebarang pertuduhan rasmi kerana pendakwa raya masih mengumpul bukti sebelum memutuskan tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, Tapia dilaporkan kekal berada di Amerika Syarikat bersama skuad Argentina menjelang aksi suku akhir menentang Switzerland. -AGENSI
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

