KEELUNG – Ribuan penduduk di Taiwan dipindahkan dari kediaman mereka, manakala banyak sekolah dan pejabat ditutup ketika taufan terbesar yang melanda negara itu dalam beberapa dekad dijangka melanda wilayah berkenaan hari ini.
Ia dijangka membawa hujan sehingga satu meter, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.
Taufan Bavi dijangka ‘merempuh’ kawasan utara dan timur Taiwan serta pulau-pulau terpencil di barat daya Jepun pada Jumaat dan Sabtu sebelum bergerak menuju ke China, yang turut dilanda ribut maut itu minggu ini.
Penduduk di bandar pelabuhan Keelung, yang diramal antara kawasan paling teruk terjejas, mula menyimpan bekalan makanan, menampal tingkap dengan pita pelekat serta meletakkan guni pasir di hadapan premis perniagaan selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Selepas melanda Guam dan Kepulauan Mariana Utara sebagai taufan super pada Isnin lalu, taufan Bavi diturunkan taraf kepada taufan ketika bergerak merentasi Lautan Pasifik.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), kelajuan angin berterusan maksimum taufan Bavi pada Jumaat ialah 162 kilometer sejam, dengan tiupan angin sehingga 198 kilometer sejam, lebih perlahan berbanding hari sebelumnya.
“Taufan ini dijangka terus lemah kerana keadaan persekitaran tidak begitu menggalakkan. Impak paling besar dijangka berlaku di Taipei, New Taipei, Keelung dan Yilan, manakala hujan paling lebat diramal melanda kawasan tanah tinggi di tengah dan utara Taiwan,” katanya.
Jejari angin kencang taufan Bavi yang mencecah 380 kilometer menjadikannya taufan terbesar melanda Taiwan dalam tempoh lebih 30 tahun.
Banyak sekolah dan pejabat di utara serta timur Taiwan, termasuk di Taipei, ditutup pada hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Di Keelung, orang ramai membanjiri pasar bagi mendapatkan bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran, penjaja makanan jalanan mengukuhkan gerai masing-masing.
Lebih 1,000 penduduk telah dipindahkan, kebanyakannya di daerah pergunungan Hualien di timur Taiwan, dan pihak berkuasa sedang memantau dua empangan.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menggesa penduduk di kawasan yang dijangka menerima kesan paling teruk supaya kekal dalam keadaan berjaga-jaga.
“Walaupun taufan ini sedikit melemah dan kini diklasifikasikan sebagai taufan sederhana, kawasan anginnya yang luas masih mampu membawa angin kencang dan hujan lebat ke pelbagai kawasan,” katanya menerusi Facebook. – MalaysiaGazette

