PARIS: Lebih 20 negara mengambil langkah menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak susulan kebimbangan terhadap kesan platform digital terhadap golongan muda.
Perkembangan itu berlaku ketika Kesatuan Eropah (EU) merangka pendekatan bersama bagi mengawal akses kanak-kanak terhadap media sosial.
Sebuah jawatankuasa pakar dijangka mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Eropah esok mengenai kemungkinan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di 27 negara anggota EU.
Menurut kiraan AFP, sekurang-kurangnya lima negara sudah melaksanakan sekatan, manakala negara lain sedang menggubal atau mempertimbangkan undang-undang berkaitan.
Kebanyakan langkah itu menyasarkan pengguna berusia bawah 15 atau 16 tahun.
Australia melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun sejak Disember 2025.
Brazil pula memperkenalkan undang-undang pada Mac lalu yang mewajibkan platform menghubungkan akaun pengguna bawah 16 tahun dengan akaun ibu bapa selain melaksanakan pengesahan umur.
Di China, akses golongan bawah umur terhadap media sosial telah dikawal secara berperingkat sejak 2019.
Langkah awal membabitkan had masa dan sekatan permainan dalam talian sebelum diperluaskan pada 2023 kepada media sosial serta platform penstriman.
Indonesia melarang penggunaan media sosial bagi bawah 16 tahun sejak Mac lalu, manakala Malaysia turut mengambil pendekatan sama apabila perundangan berkaitan berkuat kuasa pada Jun, mengehadkan akses bawah 16 tahun kepada platform utama.
Turkiye dijangka menyertai senarai itu selepas meluluskan undang-undang pada April bagi melarang penggunaan media sosial oleh bawah 15 tahun, yang dijangka berkuat kuasa pada akhir 2026.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengumumkan larangan media sosial bagi bawah 15 tahun bulan lalu dengan pelaksanaan dijangka dalam tempoh kira-kira setahun.
Di luar EU, Norway dijangka membentangkan rang undang-undang (RUU) menjelang akhir tahun untuk melarang akses kepada pengguna bawah 16 tahun. – AFP

