Angka korban gempa Venezuela meningkat kepada 4,490 orang

CARACAS: Angka korban rentetan dua gempa bumi yang melanda Venezuela meningkat kepada 4,490 orang.

Anadolu Ajansi melaporkan, angka rasmi terkini yang dikongsi Presiden Dewan Kebangsaan, Jorge Rodriguez menerusi platform X memaklumkan 16,740 orang cedera dalam bencana itu, manakala 6,462 lagi berjaya diselamatkan.

Setakat ini, pihak berkuasa telah menyalurkan bantuan kepada 120,794 keluarga serta mendirikan 108 pusat penempatan sementara yang menempatkan 19,583 orang, manakala 17,907 lagi masih belum mempunyai kediaman tetap.

Menurut laporan sama, gempa merosakkan 856 bangunan, termasuk 190 struktur runtuh.

Dalam pada itu, pasukan bantuan mengagihkan 9,995 tan metrik makanan dan lebih 18.5 juta liter air, manakala 32,401 pesakit menerima rawatan perubatan.

Operasi tindak balas itu melibatkan 31,837 anggota, 30,535 sukarelawan dan 2,422 anggota penyelamat antarabangsa.

24 Jun lalu, dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda negara Amerika Selatan itu dalam jarak hanya 39 saat.

SUMBER : TV3