KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 individu dilaporkan kehilangan pekerjaan setakat 12 Jun lalu, dengan sektor pembuatan terus merekodkan jumlah pemberhentian pekerja tertinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 134,123 tuntutan faedah menerusi program Skim LINDUNG Kerjaya telah diluluskan membabitkan peruntukan keseluruhan RM248.23 juta.
Bantuan itu meliputi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Fi Latihan (FL) dan Elaun Latihan (EL).
Ramanan berkata, sektor pembuatan mencatatkan 8,702 kes kehilangan pekerjaan atau 20.7 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan 7,560 kes serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan yang merekodkan 4,239 kes.
Beliau berkata, peningkatan kehilangan pekerjaan dalam sektor pembuatan dipengaruhi lonjakan kos operasi domestik serta ketidaktentuan permintaan global yang menjejaskan rantaian bekalan.
“Inisiatif strategik dengan suntikan dana melebihi RM580 juta di bawah Skim LINDUNG Kerjaya ini disasarkan untuk membantu lebih 56,000 pekerja terjejas melalui intervensi pekerjaan semula, sokongan dan pelbagai bantuan kewangan berkala.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan fungsi jaringan keselamatan sosial negara kekal dinamik dan mampan dalam mendepani impak krisis ekonomi global yang berpanjangan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh. Ali (BN-Pekan) yang meminta Kementerian Sumber Manusia menjelaskan kesan krisis global serta statistik terkini pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Ramanan berkata, kementerian turut menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), termasuk menyemak kadar bayaran EBSA, EL dan FL, selain memperkenalkan Elaun Bantuan Mobiliti bagi menggalakkan pergerakan tenaga kerja ke kawasan yang mempunyai permintaan lebih tinggi.
“Kementerian melalui PERKESO telah merangka jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh supaya tiada golongan pekerja yang tercicir ketika mendepani ketidaktentuan global ini. Selain daripada bantuan kewangan, fokus utama kita adalah memastikan mangsa pemberhentian kerja mendapat pembelaan segera melalui faedah perkhidmatan pekerjaan untuk membantu mereka kembali menyertai pasaran kerja secepat mungkin.
“Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO kini ditugaskan untuk memantau secara proaktif setiap kes melalui khidmat kaunseling kerjaya, carian yang disasarkan, serta padanan kerjaya yang tepat bagi memastikan keberkesanan proses penempatan semula ini,” katanya.
Ramanan berkata, usaha mempercepatkan penempatan semula pekerja turut diperkukuh menerusi Program Karnival Kerjaya di seluruh negara.
Sepanjang Januari hingga 31 Mei, sebanyak 2,989 karnival berjaya dianjurkan dengan kehadiran 86,594 pencari kerja tempatan, menyaksikan 14,029 individu memperoleh pekerjaan secara langsung manakala 15,809 lagi berjaya melangkah ke peringkat temu duga seterusnya.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

