Yamal buru rekod Mbappe

ARLINGTON: Lamine Yamal berpeluang mengikut jejak Kylian Mbappe muncul juara Piala Dunia ketika masih remaja, namun terlebih dahulu perlu membantu Sepanyol menyingkirkan Perancis pada aksi separuh akhir awal pagi Rabu.

Mbappe membantu Perancis menjulang Piala Dunia 2018 pada usia 19 tahun, manakala Yamal kini berpeluang mencipta sejarah tersendiri bersama Sepanyol.

Pemain sayap Barcelona itu sebelum ini menjaringkan gol ketika membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-1 pada separuh akhir Euro 2024 sebelum pasukannya menewaskan England di final dan beliau dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan.

Kini, ulang tahun kelahiran Yamal yang ke-19 hadir sehari sebelum pertemuan separuh akhir menentang Perancis di Arlington, dengan pemain itu bertekad mencipta impak besar pada penampilan sulungnya di Piala Dunia.

Yamal sebelum ini hampir terlepas kejohanan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika bersama Barcelona pada penghujung musim.

Pemain muda itu memulakan kempen sebagai pemain gantian ketika Sepanyol seri tanpa jaringan dengan Cape Verde sebelum meledak satu gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Arab Saudi.

Bagaimanapun, Yamal masih belum menambah koleksi jaringan walaupun beraksi dalam setiap perlawanan selepas itu.

SUMBER : TV3