KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih menjalankan kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran di Pasar Borong Selangor, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, dekat sini, pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata operasi diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
Menurut Ashrul, anggota bomba masih memberi tumpuan kepada kawasan lot kedai yang musnah dalam kebakaran malam tadi.
“Setakat jam 7.50 pagi, kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa kebakaran giat dijalankan di lokasi.
“Operasi akan diteruskan sehingga kami benar-benar yakin tiada lagi baki bara atau punca kebakaran yang boleh menyebabkan api marak semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ashrul berkata, kebakaran membabitkan lot kedai menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4 Pasar Borong Selangor.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kebakaran dapat dikawal jam 1.20 pagi selepas operasi pemadaman membabitkan 68 pegawai dan anggota JBPM bersama 67 anggota Pasukan Bomba Sukarela.
“Operasi menggunakan lima Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), dua Aerial Ladder Platform (ALP), sebuah All Terrain Vehicle (BATV), tiga Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan tujuh Water Tanker,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
2,000 tin gas metana
Terdahulu, BH melaporkan anggota JBPM berdepan risiko tinggi ketika memadam kebakaran besar itu susulan kewujudan kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis yang terbakar hingga mencetuskan beberapa siri letupan.
Operasi turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta, selain api marak dengan pantas akibat tiupan angin kuat.
Kebakaran turut merebak ke beberapa premis berhampiran, namun berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama pasar yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

