KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan salah laku serangan seksual dan buli di tempat kerja membabitkan seorang pengarah hospital di negeri ini sudah selesai.
JKNS dalam kenyataan berkata siasatan terperinci dilaksanakan jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, syor tindakan susulan juga sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan telah diperoleh dan syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Disamping itu, JKNS juga berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja kerana ia bertentangan dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam.
Rabu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming, menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli membabitkan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa.
Semalam Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan polis menerima laporan dakwaan berkenaan pada Januari lalu dan siasatan sudah dijalankan sebelum isu itu tular di media sosial.

