Enam sahabat maut di Karak selamat disemadikan

TEMERLOH: Enam mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Bentong-Karak selamat disemadikan mengikut agama masing-masing, hari ini.

Tiga mangsa iaitu V Mugilan, 25, K Dinesvaran, 21, dan S K Kiisyen, 16, dibawa ke Mentakab Hindu Crematorium untuk upacara pembakaran mayat yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

Tiga lagi mangsa, K Alaganathan, 20, A Kanabati Raja, 18, dan M Paranthaman, 15, disemadikan di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak.

Terdahulu, keenam-enam mangsa terkorban dalam kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mereka selepas dipercayai bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bentong-Karak.

Di Mentakab Hindu Crematorium, ahli keluarga berkumpul sejak awal pagi bagi memberi penghormatan terakhir, manakala di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Kawang, Karak, ratusan ahli keluarga dan penduduk setempat hadir mengiringi pengebumian tiga lagi mangsa.

Suasana bertukar sayu apabila tangisan ahli keluarga mengiringi setiap proses penghormatan terakhir sebelum jasad mangsa disemadikan mengikut adat istiadat agama Hindu.

SUMBER : TV3