Guni reput berisi rangka disyaki tulang manusia ditemukan

KANGAR: Seorang lelaki terkejut apabila menemukan sebuah guni reput dipercayai mengandungi rangka disyaki tulang manusia ketika menjalankan kerja-kerja meracun di kebunnya berhampiran sebuah kilang beras, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada jam 10.48 pagi.

Menurutnya, pengadu menemukan guni berkenaan kira-kira jam 10.20 pagi ketika melakukan kerja meracun di kawasan kebun terbabit.

“Pengadu menemui guni yang sudah reput disyaki mengandungi tulang manusia ketika melakukan kerja-kerja meracun di kebun berkenaan.

“Barang kes akan dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti rangka berkenaan serta punca sebenar kejadian.

SUMBER : TV3