KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berharap kejayaan meraih pingat emas sulung di Sukan Komanwel mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan penajaan dan peruntukan untuk sukan berbasikal trek negara.
Pemenang acara keirin di Glasgow itu berkata, perkembangan sukan berkenaan di Malaysia sudah jauh berubah berbanding awal tahun 2000-an, namun ia masih memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan momentum kecemerlangan dapat dikekalkan.
“Suatu ketika dahulu, berbasikal trek di Malaysia adalah sukan yang kecil dan tidak begitu popular.
“Tetapi selepas kami memenangi banyak kejohanan besar seperti Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan turut meraih pingat di Sukan Olimpik, sukan ini semakin mendapat perhatian.
“Saya berharap kemenangan hari ini akan membantu menarik lebih banyak penaja serta meningkatkan pembiayaan kepada sukan ini.
“Kami memerlukan lebih banyak dana untuk berbasikal trek di Malaysia kerana kami sudah membuktikan bahawa negara ini adalah antara kuasa terbaik dunia dalam acara berbasikal trek.
“Saya berharap sukan ini akan terus berkembang pada masa depan,” katanya.
Perkembangan berbasikal trek negara mula mendapat perhatian selepas kejayaan bekas pelumba negara, Josiah Ng pada awal 2000-an yang membuka mata banyak pihak, termasuk sektor kerajaan dan swasta, untuk menyalurkan sokongan kepada sukan berkenaan.
Sokongan itu kemudian menjadi asas kepada kemunculan generasi baharu yang dipimpin Azizulhasni sehingga Malaysia muncul sebagai antara pencabar utama dunia dalam acara pecut trek.
Walaupun berbasikal trek tidak sepopular perlumbaan lebuh raya, pencapaian konsisten pelumba negara seperti Fatehah Mustapa, Shah Firdaus Sahrom dan Izzah Izzati Asri membuktikan Malaysia memiliki bakat serta potensi besar untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.

