Kempen ubah tingkah laku penunggang motosikal tak lagi mencukupi

Di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, meninggal dunia apabila motosikalnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan dalam perjalanan pulang dari program RXZ Members 8.0, manakala seorang remaja, Ahmad Asyraf, 13, yang tidak menyertai perhimpunan permotoran pula dilaporkan menjadi mangsa rempuhan ketika membonceng motosikal ibunya, melecur teruk dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Kedua-dua kes ini adalah sebahagian daripada kemalangan membabitkan motosikal yang terus meningkat pada kadar purata tahunan 5.83 peratus, tetapi setiap kehilangan dan kecederaan bukan hanya statistik, sebaliknya memberikan kesan kepada keluarga dan waris serta pengguna lain, malah negara turut menanggung akibat. Dengan purata 18 kematian sehari dan 59 peratus membabitkan penunggang, masalah ini bukan lagi kelemahan atau kelalaian individu semata-mata, sebaliknya krisis kesihatan awam dan kegagalan mekanisme menanganinya.

Setiap kematian dianggarkan menyebabkan kerugian ekonomi RM3.12 juta melalui kehilangan produktiviti, pendapatan keluarga, kos rawatan dan penggunaan sumber hospital. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan nahas jalan raya meragut kira-kira 1.16 juta nyawa setahun dan menelan sekitar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakan negara. Bank Dunia meletakkan kos di negara berpendapatan rendah dan sederhana antara dua hingga enam peratus KDNK, membuktikan usaha meningkatkan keselamatan jalan raya ialah pelaburan ekonomi jangka panjang.

Soalnya, apakah kita merasakan sudah tiada cara untuk mengurangkan kemalangan motosikal? Australia contohnya memperkukuh lesen berperingkat, teknologi brek antikunci, penarafan pakaian perlindungan serta membaiki lokasi hitam motosikal. Program lokasi hitam motosikal di Victoria dilaporkan mengurangkan kematian dan kecederaan serius sekitar 30 peratus, sementara New Zealand mewajibkan Sistem Brek Antikunci (ABS) bagi motosikal lebih 125cc serta ABS atau sistem brek gabungan bagi kelas lebih kecil.

Justeru, kempen mengubah tingkah laku sahaja tidak mencukupi jika jalan, kenderaan, kelajuan dan sistem pelesenan terus ‘membenarkan’ kesilapan manusia berakhir dengan kematian. Malaysia perlu menerapkan pendekatan sama, khusus untuk konvoi berskala besar. Kelulusan acara mesti disertai penilaian risiko laluan, had saiz kumpulan, pelepasan berperingkat, marshal bertauliah, hentian rehat wajib, pemeriksaan teknikal, larangan perlumbaan spontan serta pusat kawalan bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), penganjur dan perkhidmatan kecemasan.

Kita mahu penganjur tidak boleh sekadar mengeluarkan nasihat umum, kemudian berlepas tangan apabila peserta keluar dari tapak program. Mereka wajib menyediakan pelan perjalanan pulang, kod kelakuan, taklimat keselamatan, insurans acara, nombor kecemasan dan mekanisme menyingkir peserta berisiko, selain membantu siasatan melalui data pendaftaran serta rakaman laluan. Penguatkuasaan pula mesti tertumpu sebelum, ketika dan selepas acara, termasuk operasi kelajuan, alkohol dan dadah, nombor pendaftaran, tayar, brek, bunyi ekzos serta pengubahsuaian haram.

Dalam jangka panjang, kita mahu kerajaan memperluas lorong motosikal, memasang penghadang lebih mesra penunggang, membaiki jalan dan menggunakan kamera pintar di laluan berisiko tinggi. Semua langkah ini tentu membabitkan peruntukan besar, tetapi kita tidak ada pilihan jika mahu menurunkan kadar kemalangan terutama kematian di jalan raya, sekali gus mengurangkan ‘beban ekonomi’.