‘Harap perbetulkan berita’ – ADUN Lenggeng nafi tidak hadir istiadat angkat sumpah MB Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, menafikan dakwaan bahawa beliau tidak hadir pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Ahad lalu.

Dalam hantaran melalui laman sosial, Mohd Asna sekali gus meminta sebuah akhbar untuk memperbetulkan berita dakwaan itu.

“Saya hadir tadi ya (Ahad lalu) majlis angkat sumpah Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Ke-12.

“Harap perbetulkan berita yang mendakwa saya tidak hadir. Kerusi banyak kosong kerana tiada jemputan pasangan,” katanya.

Dalam hantaran itu, Mohd Asna turut kongsikan keratan berita akhbar terbabit yang melaporkan hasil pemerhatian mendapati beberapa kerusi dikhaskan kepada ADUN tidak dipenuhi, termasuk dua calon Menteri Besar Negeri Sembilan membabitkan ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dan Mohd Asna.

Semalam, Jalaluddin dilapor menjelaskan bahawa beliau tidak menghadiri majlis istiadat itu kerana notis jemputan yang diterimanya singkat.

Jalaluddin dipetik berkata, pihaknya menerima notis jemputan itu daripada pihak protokol negeri pada jam 4.50 pagi Ahad lalu, namun beliau sudah mengatur satu majlis lain yang memerlukan kehadirannya.

Ahad lalu, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim, 67, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada jam 11.37 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu, menyaksikan strategi persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) membuahkan hasil apabila berjaya membolot 25 kerusi dengan UMNO memenangi kesemua 16 kerusi ditandingi, diikuti MCA (dua kerusi), manakala PN menerusi PAS meraih empat kerusi dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) (tiga kerusi).