WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa rundingan dengan Iran sedang berlangsung dan menyifatkannya sebagai ‘peluang terakhir’ buat Tehran memeterai perjanjian bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama lima bulan.
Bagaimanapun, Iran menafikan sebarang rundingan sedang atau akan diadakan dengan AS, sekali gus mencerminkan tipisnya peluang penyelesaian diplomatik terhadap konflik itu dalam masa terdekat.
“Mereka (Iran) sedang berunding sekarang,” kata Trump kepada pemberita pada satu acara di Pejabat Oval, sambil menjelaskan perbincangan itu diadakan atas permintaan Iran serta beberapa negara lain termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
“Ini peluang terakhir untuk mereka (Iran) menandatangani satu perjanjian yang baik,” katanya.
Kenyataan Trump dibuat selepas beliau pada hujung minggu lalu membatalkan rancangan melancarkan apa yang disifatkannya sebagai ‘serangan besar-besaran’ terhadap Iran, dengan alasan rundingan akan diadakan, sekali gus mengulangi corak tindakannya sebelum ini yang mengumumkan ancaman ketenteraan sebelum membatalkannya.
Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, menegaskan tiada rundingan dengan AS sedang berlangsung dan tiada sebarang pertemuan dijadualkan.
Beliau berkata, Iran juga tidak merancang menerima delegasi asing atau menghantar wakil perunding ke luar negara dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Menurutnya, semua perunding Iran kini berada di dalam negara kecuali Menteri Luar, Abbas Araqchi, yang sedang mengerjakan ibadah di Iraq.
Baghaei berkata, satu-satunya rundingan yang sedang berlangsung ialah dengan Oman berhubung pengurusan Selat Hormuz.
Sumber kanan Iran turut memberitahu Reuters bahawa tiada rundingan dirancang dengan Araqchi dijangka tidak dapat menyertai sebarang perbincangan sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini.
Pegawai dan penganalisis Teluk berkata, Iran dipercayai mengambil pendekatan bertahan dengan menjadikan laluan perdagangan, perkapalan dan infrastruktur tenaga di Asia Barat sebagai tekanan strategik bagi meningkatkan kos konfrontasi.
Mereka berkata, strategi itu bertujuan meyakinkan AS dan sekutunya bahawa mengawal krisis adalah lebih mahal berbanding memenuhi tuntutan Iran berkaitan Selat Hormuz
“Kelebihan terbesar mereka ialah keupayaan menjejaskan negara serantau dan ekonomi global,” kata penganalisis Institut Washington, Michael Knights.
Dalam hantaran di Truth Social kemudian, Trump menyifatkan kepimpinan Iran sebagai ‘sangat tidak jujur’, sambil mendakwa Tehran meminta satu lagi pertemuan dan rundingan tambahan dijadualkan dalam masa terdekat.
Beliau turut mengulangi dakwaannya bahawa Tentera Laut AS menguasai sepenuhnya Selat Hormuz, laluan yang sebelum konflik mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
“Amerika Syarikat ialah Tembok Keluli. Tiada apa yang boleh sampai ke Iran melainkan kami mengizinkannya, dan tiada apa akan berlaku sehingga satu perjanjian dicapai atau mereka menyerah sepenuhnya,” katanya.

