Lubnan, Israel adakan pusingan baharu rundingan langsung di Rom

ROM: Lubnan dan Israel mengadakan pusingan baharu rundingan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Rom semalam, dengan Beirut berusaha mendapatkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan negara itu.

Konvoi membawa delegasi kedua-dua negara tiba pada waktu pagi di Kedutaan AS di ibu negara Itali itu, dengan rundingan dijadual berlangsung hingga Khamis.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, berkata Washington kekal komited menyokong kedua-dua kerajaan meneruskan proses itu bagi menjamin keselamatan berkekalan untuk kedua-dua negara, menghapuskan ancaman keselamatan terhadap Israel serta memulihkan kuasa kerajaan Lubnan di seluruh wilayah selatan negara itu.

Dalam rundingan di Washington pada Jun lalu, Israel dan Lubnan bersetuju dengan satu rangka kerja yang merangkumi pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan, bermula di kawasan percubaan yang dikenali sebagai zon perintis.

Rundingan minggu ini adalah pusingan ketujuh antara Washington sejak Hizbullah membawa Lubnan ke dalam perang di Asia Barat pada Mac lalu dengan melancarkan roket ke arah Israel sebagai tanda sokongan kepada sekutunya, Iran.

Israel membalas dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat yang menurut Lubnan mengorbankan lebih 4,300 orang.

Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berkata rundingan secara langsung itu tidak akan membawa apa-apa selain kehinaan, rasa malu dan siri kompromi kepada Lubnan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, beliau turut mengkritik Presiden Lubnan, Joseph Aoun, dengan mendakwa beliau tidak bertindak sebagai pengadil atau penyatu, sebaliknya bersikap memihak dan memecahbelahkan, sesuatu yang tidak selaras dengan peranannya serta kekuatan Lubnan.

Pada Isnin, Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, menggesa Lubnan dan Israel supaya meneruskan rundingan secara konstruktif serta mencari penyelesaian bersama yang membolehkan perjanjian rangka kerja itu dilaksanakan sepenuhnya, menurut kementeriannya.

Selepas rundingan bulan lalu, tentera Israel berundur dari kawasan pinggir kampung Zawtar al-Gharbiya, iaitu antara kawasan pertama yang dipilih sebagai zon perintis.

Tentera Lubnan kemudian ditempatkan di kawasan itu dan membenarkan penduduk memeriksa kediaman serta premis perniagaan mereka.