Vinicius cuma pergunakan Arsenal – Carragher

LONDON: Jamie Carragher percaya peluang Arsenal mendapatkan Vinicius Junior amat tipis dan menganggap penyerang Brazil itu hanya menggunakan minat The Gunners sebagai strategi untuk memperoleh kontrak baharu yang lebih lumayan bersama Real Madrid.

Vinicius kini memasuki tahun terakhir kontraknya di Santiago Bernabeu selepas rundingan pembaharuan gagal mencapai kata sepakat susulan Piala Dunia Kelab tahun lalu.

Situasi itu menarik perhatian Arsenal, dengan pengendalinya, Mikel Arteta dilaporkan amat berminat membawa pemain berusia 26 tahun itu ke Stadium Emirates.

Malah, laporan menyebut Arsenal sanggup menjadikan Vinicius pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Namun, media di Sepanyol melaporkan Vinicius masih mengutamakan usaha menyelesaikan masa depannya di Real Madrid, manakala pengendali kelab itu, Jose Mourinho turut menegaskan beliau tidak mahu kehilangan pemain berkenaan.

Vinicius sendiri memberi bayangan positif mengenai masa depannya apabila memuji hubungan awalnya bersama Mourinho.

“Segalanya berjalan dengan baik. Saya sedang menyesuaikan diri dengan pengendali baharu serta pemain-pemain baharu dan bekerja keras dalam latihan.

“Mourinho mahu saya kekal seperti sebelum ini, gembira, ceria dan bermain dengan cara saya sendiri,” kata Vinicius.

Bekas pertahanan Liverpool, Carragher berkata Arsenal memerlukan pemain bertaraf dunia seperti Vinicius jika mahu benar-benar mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

“Ya, dari sudut memiliki seorang pemain bertaraf superstar.

“Saya fikir kisah Vinicius ini sangat menarik kerana saya percaya Arsenal memerlukan pemain seperti itu untuk memenangi Liga Juara-Juara.

“Mereka sudah membuktikan mampu memenangi liga, tetapi saya masih tidak nampak mereka memenangi Liga Juara-Juara kerana pasukan yang berjaya biasanya mempunyai penyerang atau pemain sayap yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Tetapi adakah Arteta sanggup mengorbankan falsafahnya yang mahukan pemain sayap sentiasa membantu bertahan semata-mata untuk mendapatkan pemain seperti Vinicius? Tiada jaminan ia akan berjaya,” kata Carragher.

Carragher turut mengakui beliau mahu melihat Vinicius beraksi di Liga Perdana Inggeris, namun tidak percaya perpindahan itu akan menjadi kenyataan.

“Saya memang mahu melihatnya berlaku kerana saya rasa liga ini kekurangan pemain penyerang bertaraf elit ketika ini.

“Semasa Piala Dunia, empat pasukan terbaik ialah Perancis, Sepanyol, England dan Argentina, tetapi hampir tiada penyerang utama mereka bermain di Liga Perdana Inggeris.

“Anthony Gordon sudah meninggalkan liga, Jude Bellingham bermain di Sepanyol dan Harry Kane di Jerman.

“Jika kami dapat pemain seperti Vinicius, ia sesuatu yang hebat. Tetapi saya langsung tidak nampak ia akan berlaku.

“Saya yakin dia hanya menggunakan situasi ini untuk mendapatkan kontrak baharu di Real Madrid,” katanya. – AGENSI