KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan mencatatkan 272 kes membabitkan kejadian pokok tumbang sejak Januari hingga Julai lalu.
Timbalan Pengarah APM Kelantan, Left Kol (PA) Mohd Farid Ishak, berkata panggilan sebenar melebihi angka itu memandangkan kes terbabit turut diterima agensi penyelamat lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.
Beliau berkata, boleh dikatakan setiap hari APM menerima panggilan mengenai pokok tumbang diterima di setiap daerah.
“Tahun lalu kami menerima sebanyak 397 kes membabitkan kejadian pokok tumbang dalam tempoh yang sama. Kita jangka kejadian seumpama itu akan berlarutan memandangkan sekarang cuaca berangin dan musim juga semakin beralih kepada Monsun Timur Laut,” katanya kepada media selepas program Hari Bersama Media APM Kelantan 2026, di sini hari ini.
Mohd Farid berkata, pencegahan awal kejadian pokok tumbang boleh dibuat oleh orang awam dengan berwaspada dengan kewujudan pokok yang dilihat sudah tua atau boleh tumbang bila-bila masa.
Katanya lagi, proses menebang lebih awal perlu dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kerana bukan sahaja boleh merosakkan kediaman tapi juga mengancam nyawa.
“Persediaan awal kita boleh tengok sendiri keadaan sekeliling sama ada selamat atau ada ancaman pokok tumbang dan pokok tua perlu ditebang awal-awal sebab apabila sudah tumbang, boleh babitkan kerosakan harta benda dan nyawa orang awam.
“Pokok hiasan di tepi jalan juga perlu diselenggara secara berkala dan tugas itu memang dijalankan oleh PBT,” katanya.

