KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat pencapaian bersejarah apabila mendapat pengiktirafan kelulusan penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi program micro-credentials.
Keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Pembelajaran Sepanjang Hayat MQA pada 3 Julai lalu, sekali gus mengiktiraf keupayaan UiTM dalam memastikan penawaran pembelajaran fleksibel memenuhi piawaian kualiti ditetapkan.
Melalui pengiktirafan berkenaan, pengurusan QVC UiTM diselaraskan dan diterajui Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), yang bertanggungjawab dalam pengurusan jaminan kualiti akademik universiti.
Di bawah tadbir urus InQKA, UiTM diberi mandat menjalankan penilaian verifikasi kualiti bagi Stand-alone Micro-credentials (SAMC) bermula tahap Sijil (Tahap 3) sehingga Ijazah Kedoktoran (Tahap 8) dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, berkata pengiktirafan daripada MQA itu membuktikan kepercayaan terhadap kualiti dan tadbir urus akademik universiti berkenaan.
“Pengiktirafan daripada MQA ini bukan sahaja satu penghormatan besar, malah bukti kepercayaan terhadap kualiti dan tadbir urus akademik UiTM.
“Ia sejajar dengan visi UiTM 2030 untuk meletakkan universiti ini di persada global melalui penawaran pendidikan yang anjal, relevan dengan industri serta inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengiktirafan sebagai QVC turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam merealisasikan aspirasi Pelan Strategik UiTM 2030 (2026-2030), khususnya dalam memacu kecemerlangan akademik dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat.
Pengiktirafan itu juga membolehkan UiTM memainkan peranan lebih penting dalam memastikan penawaran kursus pendek atau micro-credentials di Malaysia memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Selain itu, ia dijangka memudahkan pengiktirafan kemahiran yang diperlukan untuk masa depan, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kemahiran (upskilling) dan melatih semula kemahiran (reskilling) tenaga kerja tempatan serta antarabangsa.
Pendekatan itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pendidikan secara lebih fleksibel merangkumi pelbagai tahap, daripada Sijil hingga Kedoktoran.
UiTM berkata, kejayaan itu turut mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin transformasi pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
UiTM kini mempunyai 34 kampus, 24 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara, selain menawarkan lebih 500 program akademik meliputi peringkat Asasi, Pra Diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, PhD dan program profesional.
Dalam QS World University Rankings 2026, UiTM berada pada kedudukan ke-542 dunia, manakala dalam QS Asia University Rankings 2025, universiti itu berada pada kedudukan ke-101 Asia.
UiTM turut mempunyai lebih 700,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.

