SETIAP kali membaca berita anjing dan kucing jalanan didera, dibuang atau ditangkap, hati kecil kita pasti tersentuh. Ada melihatnya dari sudut kebajikan haiwan atau keselamatan masyarakat.
Kedua-dua kebimbangan ini benar dan perlu dihormati tetapi soalnya, bagaimanakah Malaysia dapat menangani isu haiwan jalanan secara berkesan tanpa mengabaikan nilai ihsan dan kemanusiaan?
Ia isu pengurusan masyarakat membabitkan keselamatan awam, kesihatan komuniti, tanggungjawab pemilik haiwan, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan nilai moral sesebuah negara. Masyarakat maju bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan teknologi, bahkan cara kita menguruskan makhluk lain.
Hakikatnya, kebanyakan haiwan terbiar di jalanan akibat tindakan manusia sendiri. Ada dibuang apabila tidak lagi dikehendaki dan tidak dimandulkan hingga membiak tanpa kawalan, bahkan tidak menyedari memelihara haiwan ialah amanah dan tanggungjawab jangka panjang.
Isu haiwan jalanan bukan lagi masalah kecil kerana di Selangor sahaja, sebanyak 15,120 ekor anjing liar ditangkap PBT sepanjang tahun lalu. Pada tahun sama, PBT di Selangor menerima 10,333 aduan berkaitan anjing liar, membabitkan aspek keselamatan, kebersihan dan gangguan kepada masyarakat setempat. Sebanyak 9,907 aduan diselesaikan melalui tindakan dilaksanakan PBT.
Kita tidak boleh menafikan keselamatan manusia menjadi keutamaan. Aduan haiwan agresif, risiko gigitan, kemalangan jalan raya atau gangguan kebersihan perlu diberi perhatian tetapi penyelesaian terhadap masalah ini perlu berdasarkan ilmu, prosedur betul dan prinsip kebajikan haiwan.
Realitinya, Malaysia mempunyai Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) sebagai kerangka perlindungan terhadap kebajikan haiwan. Ia memperuntukkan perlindungan daripada kekejaman, penganiayaan dan pengabaian yang menyebabkan penderitaan kepada haiwan.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sebanyak 19,303 aduan berkaitan kebajikan haiwan diterima bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan 16,340 aduan berkaitan Akta 772.
Statistik ini menunjukkan masyarakat semakin sedar mengenai hak kebajikan haiwan serta saluran membuat laporan. Namun, peningkatan kesedaran perlu disokong dengan pendidikan dan penguatkuasaan konsisten.
Banyak negara menunjukkan masalah haiwan jalanan tidak dapat diselesaikan hanya melalui operasi tangkapan. Pendekatan lebih berkesan ialah kawalan populasi melalui program Trap-Neuter-Vaccinate-Return (TNVR) bagi anjing dan Trap-Neuter-Return (TNR) untuk kucing.
Melalui pendekatan ini, haiwan ditangkap secara terkawal, dimandulkan bagi mengurangkan pembiakan, diberikan vaksinasi dan diuruskan secara sistematik.
Malaysia boleh mempertimbangkan satu kerangka pengurusan nasional:
1. Memperluaskan TNVR dan TNR melalui kerjasama PBT, DVS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan klinik veterinar.
2. Menyediakan dana khas bagi program pemandulan, vaksinasi dan rawatan.
3. Memperluaskan sistem pendaftaran dan mikrocip haiwan peliharaan supaya pemilik membuang haiwan dapat dikenal pasti.
4. Memperketatkan tindakan terhadap pembuangan haiwan kerana pemilik tidak bertanggungjawab.
5. Membangunkan pusat perlindungan haiwan melalui kerjasama kerajaan, NGO, universiti dan sektor swasta.
6. Memperkenalkan pendidikan pemilikan haiwan bertanggungjawab sejak di sekolah.
Universiti boleh berperanan melalui penyelidikan, analisis data, pendidikan komuniti dan inovasi penyelesaian. Pendekatan rentas disiplin membabitkan veterinar, teknologi, komunikasi, sains sosial dan pendidikan boleh membantu menghasilkan model pengurusan haiwan jalanan lebih sistematik.
Hakikatnya, masalah anjing dan kucing jalanan memerlukan ilmu, data, perancangan, penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak. Kemajuan negara diukur melalui kemajuan ekonomi dan teknologi, sekali gus melalui cara masyarakatnya melindungi makhluk lemah dan tidak mampu bersuara.
Dengan ilmu, ihsan dan tindakan bijaksana, Malaysia mampu membina sistem pengurusan haiwan jalanan yang menjaga keselamatan manusia tanpa mengabaikan belas kasihan terhadap haiwan.
Penulis ialah Pensyarah kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor

