Tempoh sah laku pasport Malaysia lebih 10 tahun dihentikan serta-merta – Imigresen

KUALA LUMPUR – Tempoh sah laku pasport Malaysia melebihi 10 tahun akan dihentikan berkuat kuasa serta-merta sehingga isu dengan pihak syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) diselesaikan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemegang pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

Menurutnya, pemegang pasport terlibat juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zakaria berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu tular kesulitan perjalanan ke luar negara yang dialami oleh beberapa pemegang pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.

Menurut beliau, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada pihak ICAO dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh pasport melebihi 10 tahun.

Bagaimanapun, jelasnya, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang pasport melebihi 10 tahun itu menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Bagi menangani kekeliruan itu, ujarnya, JIM menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi pasport Malaysia adalah selama 10 tahun sahaja.

“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku pasport Malaysia serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya.

Tambah beliau, JIM komited memastikan pelaksanaan pasport Malaysia sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakyat Malaysia yang mengalami kesukaran untuk melakukan penerbangan ke destinasi antarabangsa susulan tempoh sah laku pasport mereka yang dikatakan melebihi tempoh 10 tahun. – MalaysiaGazette