KULIM β Dua lelaki melarikan diri dengan memanjat pagar Kompleks Mahkamah Kulim selepas menyedari kehadiran pasukan polis yang mahu menahan mereka semula, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Suptendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi selepas kedua-dua orang kena tuduh (OKT), masing-masing berusia 27 dan 31 tahun, selesai urusan sebutan pengurusan kes serta serahan dokumen.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baharu pada 30 April lalu dan dibebaskan dengan jaminan pada hari sama.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu hadir ke mahkamah bagi sebutan kes membabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
βMereka diarahkan hadir pada 12 Ogos 2026 bagi sebutan semula kes untuk proses serahan dokumen dan pengurusan kes di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
βSelepas menyedari kehadiran pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan yang ingin melakukan tangkapan terhadap mereka bagi kes lain, kedua-dua OKT terus melarikan diri dengan memanjat pagar Kompleks Mahkamah Kulim,β katanya yang mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis kini sedang berusaha mengesan kedua-dua lelaki berkenaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 24 saat yang memaparkan keadaan kecoh di perkarangan Kompleks Mahkamah Kulim, apabila seorang lelaki dipercayai salah seorang OKT terbabit dilihat memanjat pagar sebelum melarikan diri. β MalaysiaGazette

