Arab Saudi keluar amaran potensi bahaya di Jazan, sempadan Yaman

RIYADH: Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran potensi bahaya di wilayah Jazan dekat selatan negara itu, berhampiran sempadan Yaman yang menjadi sasaran kumpulan pemberontak sejak kebelakangan ini.

Amaran seumpama itu lazimnya dikeluarkan sebelum kemungkinan berlaku serangan menyasarkan sesuatu kawasan.

“Amaran dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan di wilayah Jazan bagi memberi amaran mengenai potensi bahaya,” maklum agensi itu semalam.

Kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman dilapor berulang kali menyasarkan infrastruktur tenaga dan petroleum di Jazan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Gencatan senjata selama beberapa tahun dalam perang saudara Yaman antara Houthi dan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta diiktiraf masyarakat antarabangsa, dilihat gagal bertahan bulan lalu sebaik pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali tercetus.Pause

Perjanjian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 itu terlerai selepas kumpulan Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, termasuk menyerang kapal tangki minyak Saudi di Laut Merah serta infrastruktur minyak negara berkenaan.

Situasi itu berlaku ketika Iran turut menyekat Selat Hormuz di seberang Semenanjung Arab.

Houthi menguasai sebahagian besar wilayah Yaman termasuk Sanaa dan kawasan di sempadan dengan wilayah Arab Saudi yang menghadap Laut Merah. – AFP