Trump arah Pentagon kecilkan skala latihan tentera dengan Korea Selatan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan Pentagon mengecilkan dengan ketara skala latihan ketenteraan 10 hari dengan Korea Selatan yang bermula hari ini, atas alasan ia menelan kos tinggi.

Selain itu, keengganan Korea Selatan untuk menyokong perang AS terhadap Iran turut menjadi penyebab utama.

Beberapa jam sebelum latihan itu dijadualkan bermula, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social berkata, biarpun sudah terlambat untuk membatalkan keseluruhan latihan itu, beliau tidak berpuas hati kerana AS sebelum ini bersetuju untuk menyertainya.

Beliau juga secara tiba-tiba menekankan kononnya mempunyai hubungan yang disifatkan sangat baik dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

“Latihan ini bukan sahaja mahal, malah menghantar isyarat yang sama sekali tidak sesuai dan bermusuhan kepada sebuah negara yang sepanjang Donald J Trump menjadi Presiden, tidak mengancam dan menunjukkan sikap hormat,” katanya.

Latihan ketenteraan tahunan bersama dipanggil ‘Ulchi Freedom Shield’ dijadual bermula hari ini hingga 27 Ogos depan, dengan penyertaan kira-kira 18,000 tentera Korea Selatan.

Latihan itu dijangka merangkumi operasi bagi menangani dron, gangguan isyarat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta serangan siber bagi menyesuaikan keupayaan tentera dengan perkembangan kemampuan Korea Utara, kata seorang pegawai minggu lalu.

Penunjuk perasaan antiperang melaungkan slogan ketika menyertai perhimpunan bagi menggesa dihentikan latihan ketenteraan bersama tahunan Ulchi Freedom Shield antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat, di hadapan Kedutaan AS di Seoul, Korea Selatan. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan antiperang melaungkan slogan ketika menyertai perhimpunan bagi menggesa dihentikan latihan ketenteraan bersama tahunan Ulchi Freedom Shield antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat, di hadapan Kedutaan AS di Seoul, Korea Selatan. – Foto REUTERS

Ketua Turus Bersama Korea Selatan memberitahu bahawa latihan itu bermula hari ini seperti dijadualkan, namun enggan mengulas mengenai kenyataan Trump.

Pejabat Presiden Korea Selatan serta Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar itu tidak segera memberikan maklum balas kerana cuti umum di Seoul.

Jurucakap Pentagon pula mengarahkan pertanyaan mengenai perkara itu ditujukan kepada Rumah Putih, yang tidak segera memberi maklum balas.

Trump sejak sekian lama berusaha untuk menamatkan atau mengehadkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan, sejak penggal pertamanya sebagai Presiden dengan menyifatkannya sebagai provokatif dan menelan kos mahal.

Beliau turut berselisih dengan Seoul mengenai perkongsian kos penempatan seramai 28,500 tentera AS di Korea Selatan serta peranan mereka dalam menjamin keselamatan rantau lebih luas.

Walaupun Trump semalam bercakap dengan nada positif mengenai Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, beliau turut menyentuh pendirian Korea Selatan terhadap konflik AS-Israel dengan Iran.

“Walaupun agak tidak berkaitan, saya baru-baru ini bertanya kepada Presiden Korea Selatan sama ada mereka mahu menyertai kami dalam usaha menyahnuklear Republik Islam Iran? Mereka berkata, tidak, terima kasih!,” tulis Trump akaun media sosialnya. – REUTERS