Adigun, Nieketien, Szaban teruja kembali ke Kedah

ALOR SETAR: Penantian peminat bola sepak untuk melihat kembali tiga pemain legenda zaman emas skuad Kedah era 90’an iaitu Olubunmi Adigun, Peter Nieketien dan Tibor Szaban menjadi kenyataan apabila mereka kembali ke Kedah hari ini selepas hampir 33 tahun berlalu.

Ketibaan tiga pemain legenda import skuad Hijau Kuning ini disambut meriah oleh kira-kira 200 peminat bola sepak di sini sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Alor Setar pada jam 2.15 petang.

Kehadiran tiga bintang dalam aksi akhir Piala Malaysia musim 1993 itu adalah atas undangan istimewa bagi menjayakan perlawanan klasik iaitu Piala Merdeka Langkawi Nostalgia 1993 (PMLN 1993) tajaan DZR yang bakal berlangsung di Stadium Langkawi, 29 Ogos ini.

Tiga pemain itu kemudian menyertai pemain-pemain lain dari Kedah dan dijangka bertolak ke Pulau Langkawi pada petang esok sebelum menanti ketibaan pemain-pemain legenda dari Singapura yang akan tiba pada 28 Ogos.

Menurut Adigun yang kini berusia 58 tahun, beliau amat teruja untuk hadir kembali ke Kedah dan bukan hanya untuk bermain bola sepak, tetapi untuk bertemu kembali sahabat lama dan juga penyokong setia Kedah yang menjangkau tiga dekad lamanya.

“Saya merasa menjadi sebahagian daripada warga Kedah dan saya mahu menyantuni warga Kedah yang selama ini telah memberi sokongan dan sambutan cukup mesra kepada saya sepanjang karier saya di sini,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Abdul Rauf Ibrahim meluahkan rasa gembira atas kesudian tiga bekas pemain import legenda Kedah ini yang sudi hadir semula ke Kedah untuk meluangkan masa bersama peminat dan rakan sepasukan era 1993 ini dan menjayakan perlawanan klasik PMLN 1993 ini.

Aksi di Langkawi akan menjadi nostalgia perlawanan akhir Piala Malaysia 1993 antara Kedah dan Singapura dengan Kedah muncul juara dengan keputusan 2-0.

Adigun dan Nieketen yang berasal dari Nigeria serta Tibor Szaban (Slovakia) masing-masing pernah mengecapi kejuaraan bersama Kedah apabila menjuarai Liga Semi Pro Divisyen 1 dan Piala Malaysia pada 1993.