RAMALLAH: Tentera Israel mengganggu istiadat penyampaian ijazah pelajar Palestin di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki semalam, dan menahan beberapa rakyat Palestin, manakala serangan peneroka haram Israel mencederakan tiga individu di selatan Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi.
Pentadbiran Wilayah Baitulmuqaddis memaklumkan tentera Israel menyerbu Khan Tankiz berhampiran Masjid Al-Aqsa dan menghalang istiadat penyampaian ijazah bagi pelajar Universiti Al-Quds daripada diadakan.
Tentera Israel menahan Pengarah Pusat Pengajian Baitulmuqaddis universiti itu Youssef al-Natsheh; Pengarah Eksekutif Kluster Pelancongan Baitulmuqaddis Raed Saadeh; artis Hossam Abu Aisha; dan Hassan al-Louzi sebelum membawa mereka untuk disoal siasat, menurut pentadbiran itu.
Di selatan Tebing Barat, tiga rakyat Palestin mengalami kesukaran bernafas selepas peneroka haram Israel menyembur gas ke muka mereka dalam serangan berhampiran bandar As-Samu, selatan Hebron, menurut aktivis hak asasi Osama Makhamra.
Di tengah Tebing Barat, peneroka haram Israel menyerang sebuah kenderaan penduduk Palestin berhampiran bandar Sinjil, menurut penyiar negara Voice of Palestine.PauseNextUnmute
Lebih jauh ke utara, tentera Israel menahan seorang pemuda Palestin di jalan berhampiran Arab American University, selatan Jenin, lapor Palestine TV.
Peningkatan serangan oleh Israel di Tebing Barat, termasuk serangan tentera dan peneroka haram Israel sejak perang Gaza bermula, mengakibatkan 1,182 rakyat Palestin terkorban dan lebih 12,000 yang lain cedera, selain kira-kira 24,000 ditahan, menurut angka rasmi Palestin. – BERNAMA-ANADOLU

