Jisim ais cetus banjir Bhotekoshi dianggarkan 25 juta meter padu

KATHMANDU: Kira-kira 25 juta meter padu salji dan ais dipercayai runtuh dari kawasan Langtang di utara Nepal, mencetuskan banjir besar di Sungai Bhotekoshi.

Pakar menganggarkan jisim salji dan ais itu jatuh hampir 2,000 meter. Hentaman kuat ketika ia jatuh dipercayai menghasilkan kesan seperti letupan besar dan menyebabkan banjir luar biasa di Lhende Khola serta sistem sungai Bhotekoshi.

Ahli geologi dari Universiti Tribhuvan, Prof Dr Ranjan Kumar Dahal, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan data satelit dan dianggap sebagai anggaran paling berhati-hati buat masa ini.

“Walaupun menggunakan anggaran sangat konservatif berdasarkan data satelit, kira-kira 25 juta meter padu salji dan ais dipercayai jatuh.

“Tenaga yang terhasil apabila jisim itu jatuh dari ketinggian kira-kira 2,000 meter memberikan hentaman seperti letupan bom,” katanya kepada Onlinekhabar.PauseNextUnmute

Menurut Dahal, kekuatan hentaman itu turut dianggarkan bersamaan gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter.

Dahal bersama saintis dari beberapa universiti termasuk Universiti Tongji di Shanghai, Universiti Cambridge, King’s College London dan Universiti Padua di Itali sudah mengkaji perubahan di kawasan Himalaya sejak kira-kira setahun lalu.

Mereka turut memantau tasik kecil yang terbentuk di atas glasier serta perubahan lain di kawasan sekitar Rasuwa.

Tahun lalu, sebuah tasik glasier di kawasan Pyurepu pecah dan menyebabkan banjir di Bhotekoshi. Pasukan penyelidik terus memantau kawasan itu sebelum mula mengkaji runtuhan glasier selepas bencana terbaru.

Data satelit menunjukkan runtuhan ais utama itu sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dan meliputi kawasan selebar antara 500 hingga 800 meter ketika bergerak menuruni cerun.

Ketebalan jisim ais yang runtuh masih dikaji, tetapi dianggarkan antara 60 hingga 70 meter. Jumlah keseluruhan jisim itu mungkin mencecah 40 juta meter padu, manakala anggaran awal pakar lain meletakkannya sehingga 100 juta meter padu.

Namun, Dahal buat masa ini menggunakan anggaran lebih rendah, iaitu 25 juta meter padu.

Jumlah itu cukup untuk memenuhi Stadium Wembley di London kira-kira 22 kali dan hampir 10 kali ganda isi padu Piramid Besar Giza di Mesir.

“Ini bukan sekadar bongkah ais yang jatuh menuruni cerun. Kesannya sama seperti letupan kuat. Saksi sendiri menggambarkan bunyinya seperti letupan,” katanya.

Hentaman itu menyebabkan air, gas, batu dan ais mengalir deras ke kawasan pertemuan sungai berhampiran pintu sempadan Rasuwagadhi.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari China menunjukkan arus deras membawa air dan serpihan dari kawasan tinggi, sebelum menghentam lereng bukit di belakang pejabat kastam dan imigresen Kerung hingga merosakkan bangunan itu.

Sesetengah pakar menganggarkan banjir itu bergerak sejauh kira-kira 12 kilometer (km) dari lokasi runtuhan glasier ke Rasuwagadhi pada kelajuan sehingga 120km sejam.

Banjir itu berbeza daripada banjir sungai biasa kerana ia membawa campuran air, batu, serpihan dan ais yang bergerak sangat pantas.

Keadaan itu menyebabkan saksi menggambarkannya sebagai ‘tsunami darat’ atau ‘tsunami Himalaya’.

Dahal berkata, kelajuan serta daya kemusnahan runtuhan batu dan ais itu sukar dijangka.

Dahal percaya runtuhan ais pertama mungkin turut membawa bersama air, salji dan ais tambahan ketika bergerak menuruni cerun.

Rakaman satu lagi kejadian tanah runtuh yang dipercayai berlaku beberapa jam selepas kejadian pertama turut tersebar di media sosial.

Menurut Dahal, satu lagi tanah runtuh yang lebih kecil berlaku di lokasi sama dua hari kemudian.

Pasukan penyelidik kini menganalisis data satelit dan komputer untuk menentukan saiz sebenar serta pergerakan jisim ais sebelum runtuhan berlaku.

“Kami merancang untuk mendedahkan beberapa hasil kajian dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang,” katanya. – AGENSI