Kemboja lancar rancangan 10 tahun hapus periuk api menjelang 2035

PHNOM PENH: Kemboja melancarkan Dasar Tindakan Periuk Api Kebangsaan 2026-2035 hari ini iaitu pelan hala tuju komprehensif 10 tahun bertujuan menghapuskan semua periuk api, bom kluster dan sisa bahan letupan perang (ERW) di seluruh negara.

Xinhua melaporkan Kemboja menyasarkan untuk membersihkan semua periuk api yang dikenal pasti pada 2030, serta semua bom kluster dan kawasan keutamaan yang mengandungi ERW menjelang 2035.

Menurut dokumen dasar berkenaan, Kemboja telah membersihkan kawasan tercemar seluas 3,541 kilometer (km) persegi dalam tindakan periuk api kemanusiaan antara 1992 hingga 2025.

Dalam tempoh 33 tahun itu, pasukan pembersihan periuk api telah mengesan dan memusnahkan lebih 1.2 juta periuk api antipersonel, 26,700 periuk api antikereta kebal dan 3.24 juta ERW.

“Walaupun terdapat pencapaian yang ketara ini, cabaran kritikal masih wujud,” menurut dokumen dasar itu.PlayNextMute

Sebanyak 1,749 km persegi kawasan tanah masih tercemar, menurut dokumen itu, dan jumlah itu merangkumi kira-kira 557 km persegi yang tercemar akibat periuk api, 663 km persegi (bom kluster) dan 529 km persegi (ERW).

Menteri Kanan yang juga Naib Presiden Pertama Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA), Ly Thuch menegaskan dasar itu menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk menghapuskan semua bahan letupan perang menjelang 2035.

Kemboja kekal sebagai salah sebuah negara paling teruk terjejas di dunia akibat periuk api dan ERW.

Menurut CMAA, letupan periuk api dan ERW telah meragut 19,852 nyawa serta menyebabkan kecederaan atau kehilangan anggota badan kepada 45,301 orang antara 1979 hingga Jun 2026.