Penjaja, peniaga kecil N Sembilan dikecualikan bayaran lesen setahun – MB

SEREMBAN: Penjaja dan peniaga kecil termasuk pengusaha trak makanan dan bazar Ramadan dikecualikan bayaran lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) selama setahun mulai 1 Januari depan.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata pengecualian itu hanya membabitkan bayaran lesen perniagaan manakala bayaran lain yang berkaitan seperti yuran pemprosesan, lesen patil, caj papan iklan, caj kebersihan dan sewaan tapak masih perlu dijelaskan mengikut kadar yang ditetapkan PBT masing-masing.

“Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini sebagai inisiatif membantu meringankan beban golongan penjaja,” katanya.

Dengan pengecualian itu, Ismail meminta penjaja memanfaatkannya dengan tanggungjawab dengan menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan perniagaan, tidak menghalang lalu lintas dan berniaga di persimpangan jalan atau di hadapan pili bomba serta tidak menghalang kaki lima dan tangga.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan negeri turut menangguhkan serta merta pelaksanaan bayaran Fi Konservasi sebanyak RM3 bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba di Negeri Sembilan.