KUALA LUMPUR: Enam perlawanan domestik Liga Malaysia (Liga M) membabitkan empat Liga Super dan dua aksi Piala FA bakal menjadi detik kritikal buat pemain tempatan yang mahu menyarung jersi Harimau Malaya menjelang Piala ASEAN FIFA.
Justeru, situasi ini menuntut barisan pemain untuk terus mengekalkan prestasi dan meningkatkan kualiti permainan ketika ‘mata-mata’ barisan kejurulatihan sentiasa memerhati sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Pemain bukan sahaja beraksi untuk membantu pasukan masing-masing mencipta kemenangan malah perlu turut ‘berperang’ dengan diri sendiri untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka untuk dipilih barisan kejurulatihan diterajui Tan Cheng Hoe.
Kombinasi enam perlawanan ini menawarkan ujian maksimum untuk kesediaan mereka beraksi di pentas antarabangsa di mana prestasi semasa serta kemampuan untuk menyesuaikan diri akan mengatasi reputasi lampau dalam perebutan slot ke skuad kebangsaan.
Cheng Hoe menegaskan pintu ke skuad kebangsaan sentiasa terbuka luas, khususnya buat barisan ‘ubi muda’ yang sudahpun membuktikan kredibiliti mereka pada pentas Piala ASEAN, bulan lalu.
Cheng Hoe memberi bayangan bahawa adunan pemain muda berpotensi dan tonggak berpengalaman bakal menjadi ramuan utama Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan yang berlangsung di Indonesia, hujung bulan ini.
“Memang peluang itu tetap ada kerana kita tahu ada pemain-pemain muda yang bermain dengan agak baik dalam saingan Piala ASEAN sebelum ini. Kami sedang memantau prestasi mereka di kelab.
“Kita akan beri peluang kepada mana-mana pemain yang beraksi konsisten untuk diserap masuk. Kombinasi pemain muda dan berpengalaman itu sangat penting untuk memberi saingan dalam kumpulan yang sukar ini,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bagi Divisyen Premier bersama tuan rumah, Indonesia ; seteru seberang tambak, Singapura dan juga Bangladesh.

