MARANG: Polis Daerah Marang berjaya memberkas empat lelaki selepas mereka melarikan sebuah lori yang membawa muatan barangan dan minuman, dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Saari Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 2.08 petang semalam, daripada seorang lelaki yang mendakwa lori miliknya disamun.
Menurut Saari, mangsa memaklumkan ketika sedang memandu lori Isuzu di persimpangan pusingan U Bukit Chendering, dia dihampiri sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang berhenti berhampiran.
Katanya, tiga lelaki yang keluar dari pacuan empat roda kemudian membuka kedua-dua pintu lorinya dan mengambil kunci serta melarikan kenderaan berkenaan.
“Turut dilarikan, barangan jualan dalam lori iaitu minuman tenaga, minuman tin dan botol, makanan ringan, mi segera, serbuk kopi, coklat, susu, biskut dan barangan keperluan lain.
“Melalui siasatan, kami berjaya menahan empat suspek berusia 27 hingga 41 tahun,” katanya.
Saari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah.

