LUMUT: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menempelak pemimpin PAS yang masih bermain dengan kata-kata ‘masuk PAS akan masuk syurga’ untuk meyakinkan penyokong serta pengikut parti itu.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata manusia masuk syurga atas rahmat Allah SWT dan bukan dengan menyokong mana-mana parti politik, selain ungkapan itu dilihat seolah-olah mengambil ‘kerja’ Tuhan.
“Kita sudah lalui politik yang sebegini sejak lewat tahun 80-an, 90-an sahaja kemudian benda itu senyap seketika dan hari ini, dibangkitkan dan diucapkan lagi di atas pentas terbuka.
“Sedangkan ini adalah kerja tuhan, kita masuk syurga atau neraka ditentukan dengan rahmat Allah SWT, bukan dengan menyokong mana-mana parti.
“Tak perlu kita menggunakan ini seolah-olah langkah terdesak kita untuk meyakinkan orang, seolah-olah kita ialah wakil tuhan di sini. Itu bukan ajaran dan tuntutan yang dianjurkan dalam agama Islam,” katanya.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemui di sini, hari ini.

Justeru, katanya, PAS digesa agar memberhentikan proses pembersihan minda itu dan kembali semula kepada wacana yang lebih segar, sihat serta dengan nasihat serta perdebatan secara baik.
“Perkara ini menunjukkan seolah-olah hanya satu kelompok saja yang bercakap mewakili tuhan sedangkan ia tidak begitu. Islam juga menuntut kita untuk berlaku adil, berlaku ihsan, melawan rasuah, menegakkan keadilan sosial, mengelakkan ketirisan dan kebocoran dan menganjurkan tata kelola yang baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui dengan tegas bagaimana seseorang akan masuk syurga melalui perjuangan yang dibawa PAS biarpun selama ini ia dianggap sekadar sebagai sindiran kepada ahli parti itu.
Takiyuddin dilapor berkata: “Yalah, masuk PAS (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat. Masuk PAS cara itu, Insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian.”

