Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Bangladesh meletakkan jawatan dalam WHO

NEW DELHI: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rantau Asia Tenggara, Saima Wazed yang juga anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina meletakkan jawatan, semalam.

Menurut surat peletakan jawatannya yang dilihat REUTERS, ini susulan siasatan berhubung dakwaan penipuan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak berkuasa Bangladesh.

Kes Saima Wazed itu dilihat susulan penggulingan Hasina selepas kebangkitan rakyat yang mengorbankan banyak nyawa terhadap pemerintahannya pada pertengahan 2024 dan turut membabitkan anggota keluarganya, selain sekutu politiknya.

Ramai sekutu Hasina berdepan pertuduhan jenayah, termasuk dakwaan rasuah di Bangladesh atau hidup dalam buangan sendiri seperti Hasina.

WHO meletakkan jawatan Saima Wazed yang memulakan tugas sebagai pengarah serantau Asia Tenggara pada awal 2024 bagi tempoh lima tahun, dalam cuti pentadbiran tanpa gaji pada akhir tahun lalu.PauseNextMute

Beliau mula diarahkan bercuti pada Julai 2025 selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bangladesh, di bawah kerajaan interim yang menggantikan Hasina, memfailkan pertuduhan terhadapnya pada Mac tahun itu atas dakwaan penipuan dan pemalsuan.

Menurut surat berasingan daripada peguam Wazed kepada WHO bertarikh 3 Julai 2026 yang dilihat REUTERS, Saima Wazed menafikan’melakukan penipuan kewangan berkaitan perjalanan beliau ke China serta memberikan gambaran tidak tepat mengenai kelayakan akademiknya.

Beliau juga didakwa memperoleh sebidang tanah di Bangladesh secara tidak sah, namun Saima Wazed mendakwa memperoleh tanah itu sebelum menyertai WHO dan berhak memilikinya di bawah undang-undang Bangladesh yang meliputi keluarga tokoh kemerdekaan negara itu, Sheikh Mujibur Rahman, bapa Hasina.

“Saya dipilih untuk jawatan Pengarah Serantau bagi berkhidmat kepada negara-negara di rantau saya, dan saya sudah melaksanakan tugas itu dengan penuh ikhlas.

“Memandangkan anda terus menghalang saya daripada melaksanakan tugas dengan berkesan, saya sudah kehilangan segala kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan anda dalam WHO.

“Selain itu, selepas hampir setahun tanpa menerima sebarang imbuhan berikutan keputusan anda meletakkan saya dalam cuti tanpa gaji, keadaan kewangan saya menjadi tidak lagi mampu ditanggung. Dalam keadaan ini, saya memilih untuk berundur,” kata Wazed dalam surat peletakan jawatan kepada Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang dihantar semalam.

Wazed enggan mengulas lanjut mengenai surat berkenaan malah WHO juga tidak segera memberi respons terhadap permintaan.

Bulan lalu, WHO berkata, Saima Wazed sedang bercuti tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kesnya bagi menjaga kerahsiaan.

Dua sumber sebelum ini berkata, agensi PBB itu merancang untuk menyingkirkan Saima Wazed secara rasmi.

Seorang sumber berkata, WHO akan mengumumkan pencalonan bagi jawatan itu pada 12 Oktober, menapis permohonan pada Disember dan mengadakan pemilihan pada 24 Januari.

Pengarah serantau ialah antara pegawai dasar kesihatan paling berpengaruh di dunia, dengan tugas termasuk menangani wabak penyakit dan kecemasan serta menyesuaikan dasar WHO dengan keadaan tempatan.

Mereka dipilih setiap lima tahun oleh negara anggota, termasuk Bangladesh dan India bagi rantau Asia Tenggara.

Dalam surat bertarikh Julai itu, Saima Wazed melalui peguamnya menafikan sebarang penipuan perjalanan, dan berkata, perkara itu berpunca daripada kesilapan pentadbiran seorang pembantu yang menguruskan tuntutan bayaran balik rutin membabitkan jumlah AS$901.

Berhubung dakwaan mengenai kelayakan akademiknya, beliau mengesahkan, mempunyai ijazah doktor kehormat atas sumbangannya dalam bidang autisme di Bangladesh dan sudah memaklumkan dengan jelas kepada Dr Tedros mengenai kelayakan berkenaan. – REUTERS