UMNO mahu ke mana? – Pemuda Pokok Sena

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini perlu menjadi medan untuk parti memperjelas hala tuju politik serta membina semula kekuatan sendiri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), bukan sekadar menentukan sama ada mahu kekal bersama Pakatan Harapan (PH) atau beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad, berkata persoalan lebih besar yang perlu dijawab parti ialah ke mana UMNO mahu membawa dirinya sendiri, termasuk membina kekuatan, identiti dan keyakinan bagi menghadapi PRU-16.

Katanya, akar umbi boleh menerima hakikat politik memerlukan kerjasama, namun sukar menerima keadaan sekiranya kerjasama itu menyebabkan UMNO dilihat semakin kecil atau kehilangan nilai.

“Pandangan saya jelas, UMNO tidak sepatutnya membuat keputusan mengenai PRU-16 berasaskan sentimen, nostalgia ataupun kemarahan terhadap mana-mana pihak.

“Kerjasama politik mesti dinilai berdasarkan satu ukuran adakah ia menguatkan UMNO, menjaga kepentingan rakyat dan memberi ruang kepada UMNO untuk kembali berkembang?

“Kalau kerjasama dengan PH diteruskan, akar umbi perlu diyakinkan kerjasama itu tidak menyebabkan UMNO kehilangan identiti, kerusi tradisi dan suara politiknya sendiri.

“Begitu juga sekiranya ada pihak mahu membuka perbincangan mengenai PN. Jangan hanya bercakap mengenai penyatuan Melayu.

“Kita perlu bertanya secara jujur apakah bentuk kerjasama itu, siapa mendapat kerusi, bagaimana kedudukan UMNO dan adakah UMNO akan menjadi lebih kuat atau sekadar menjadi pelengkap kepada kekuatan parti lain?” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2026 berlangsung selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mohd Farhan berkata, UMNO jangan terlalu cepat memilih khemah dan perlu membina semula rumah UMNO dahulu sehingga orang lain pula melihat nilai untuk bekerjasama dengan parti berkenaan.

“UMNO bukan parti kecil yang perlu menunggu siapa mahu menerima kita. Kita mempunyai sejarah, organisasi, akar umbi dan pengalaman mentadbir negara.

“Tetapi semua itu hanya mempunyai nilai sekiranya kita kembali mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, berkata kecenderungan akar umbi ketika ini lebih menjurus kepada usaha memperkukuh penyatuan politik Melayu dan meneruskan momentum yang dilihat sebagai ‘gelombang biru’.

Beliau berkata, kepemimpinan parti tidak seharusnya mengambil langkah yang boleh menyebabkan momentum berkenaan terbantut ketika UMNO sedang menyusun semula kekuatan menjelang PRU-16.

“Kalau kita ambil pandangan akar umbi, memang rata-rata mahu kita bersama dengan ‘gelombang biru’. Kita tidak mahu ada ‘setback’, kerana kita sudah pergi jauh dengan gelombang biru ini.

“Bila datang keputusan dalam PAU ataupun keputusan untuk hala tuju politik, kita tarik brek. Ini yang kita tidak mahu. Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, kita minta kepimpinan utama jalan terus, jangan toleh ke kiri atau kanan lagi,” katanya.

Katanya, soal keikhlasan antara parti tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mencari titik persamaan dalam membentuk kekuatan politik yang lebih kukuh.

“Persoalannya sekarang, negara dan kerajaan yang ingin kita tubuhkan itu lebih baik daripada kerajaan yang sedia ada.

“Kita perlu berdamai, menyatukan dan mengukuhkan politik supaya agenda Melayu Islam dapat diperbaiki dari segi dasar, pendekatan dan rangka utama,” katanya.

Beliau turut mendakwa usaha untuk mengubah penerimaan orang UMNO dan orang Melayu terhadap PH, khususnya DAP, sepanjang lebih tiga tahun lalu tidak mencapai hasil.

“Sepanjang tiga tahun lebih kita cubalah untuk menghalalkan dan memurnikan pemikiran orang-orang UMNO, orang-orang Melayu untuk terima PH, terutamanya DAP, tetapi gagal,” katanya.

Dalam pada itu, Ghulam berkata, hubungan di antara akar umbi UMNO dan parti-parti dalam PH di peringkat Wilayah Persekutuan juga masih belum benar-benar memperlihat kerjasama yang kukuh.