Atlet UPSI bantu pasukan Universiti Malaysia raih emas sukan mendayung di China

TANJUNG MALIM: Atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Amin Syahmi Azahar dan Nur Insyirah Ishak mencipta kejayaan membanggakan negara apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara Mixed 8+ 1000 meter (m) pada Regata Terbuka Shenyang Ke-9 di China.

Kedua-dua atlet mewakili Malaysia bersama pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berjaya membawa nama universiti ke pentas antarabangsa menerusi pertandingan sukan mendayung di Pusat Bandar Sungai Hun, Shenyang.

Pasukan Universiti Malaysia (kiri) meraih pingat perak sukan mendayung di Shenyang dalam kategori Mixed 8+1000 meter.
Pasukan Universiti Malaysia (kiri) meraih pingat perak sukan mendayung di Shenyang dalam kategori Mixed 8+1000 meter.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan kedua-dua atlet daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu membuktikan kemampuan atlet mahasiswa UPSI untuk bersaing dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.PauseNextMute

Beliau berkata, pencapaian pingat perak dalam kategori itu turut menjadi kebanggaan seluruh warga UPSI, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Selain itu, pasukan mereka juga meraih pingat perak bagi kategori M4X 1000m dan Mixed 8+ 4500m.

“Penyertaan dalam kejohanan berlangsung dari 10 hingga 14 September ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam bidang sukan, malah memperlihatkan nilai disiplin, ketahanan fizikal dan mental, semangat juang serta kerjasama berpasukan yang menjadi asas kejayaan seorang atlet,” katanya.

Lebih membanggakan, katanya, kejayaan Amin Syahmi dan Nur Insyirah membuktikan mahasiswa UPSI mampu menyerlah dalam pelbagai bidang, selaras aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berprestasi tinggi.

Beliau berharap pencapaian itu menjadi inspirasi kepada warga UPSI, khususnya mahasiswa yang aktif dalam sukan untuk terus berusaha mengembangkan potensi dan mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Sementara itu, Amin Syahmin menganggap peluang menyertai pertandingan itu amat bermakna sekali kerana ia kali pertama mereka ke luar negara mewakili Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang sukan mendayung.

“Perasaan kami sepanjang dalam kejohanan ini sangat gemuruh kerana kebanyakan pasukan dari negara lain, antaranya University of Otago, New Zealand; University of Beijing dan universiti wilayah-wilayah China yang lain kelihatan sungguh hebat.

“Namun, itu sebenarnya hanya perasaan semata-mata dan kami percaya pada keupayaan kami,” katanya.

Setelah berjaya merangkul perak dalam kategori M4x 1000m, Mixed 8+ 1000m dan Mixed 8+ 4500m, katanya, mereka sangat berbangga dan amat bersyukur kerana penat lelah berbaloi.

“Kami sangat berbangga dengan ntuk pencapaian ini untuk kejohanan antarabangsa buat kali pertama,” katanya.

Amin Syahmi berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong, malah berharap semoga sukan mendayung terus mendapat sambutan pelajar UPSI untuk mengharumkan nama universiti dan negara.