BATU PAHAT: Empat beradik kembar mencuri perhatian apabila mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, hari ini.
Mereka antara 3,302 pelajar baharu program Sarjana Muda yang mendaftar di UTHM bagi sesi akademik 2026/2027, sekali gus memulakan langkah baharu dalam perjalanan akademik sebagai warga universiti.
Keempat-empat kembar terbabit ialah Amir Muttaqin Md Khairuddin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin berusia 23 tahun dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Lebih menarik, kesemua mereka memilih program pengajian yang sama, iaitu Sarjana Muda Pengurusan Hartanah (Kepujian) di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM.
Adib Muttaqin berkata, keputusan memilih bidang berkenaan dibuat kerana kesemuanya memiliki Sijil Penilaian Harta Tanah daripada Institut Penilaian Negara (INSPEN).
“Sememangnya menjadi hasrat kami untuk meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan hartanah di peringkat ijazah dan sebab itulah kami memilih UTHM.
“Peluang menyambung pengajian di UTHM mencetuskan perasaan gembira dan teruja kerana berjaya melangkah ke peringkat pengajian tinggi,” katanya selepas mendaftar di UTHM, Parit Raja, dekat sini.
Namun, menurut Abid Muttaqin, pengalaman pertama bergelar mahasiswa turut diselubungi rasa debar kerana perlu meninggalkan keluarga dan berhijrah jauh dari Kelantan.
“Seronok kerana berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, tetapi ada juga rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga.
“Pada masa yang sama, sedikit mendebarkan kerana ini pengalaman pertama kami masuk universiti dan perlu datang jauh dari Kelantan,” katanya.
Abid Muttaqin berkata, belajar dan menjalani kehidupan sebagai kembar empat di UTHM memberikan kelebihan tersendiri, khususnya dalam aspek pembelajaran dan kehidupan seharian.
“Antara manfaatnya ialah kami mudah belajar dan mengulang kaji bersama serta boleh saling mengingatkan untuk hadir ke kelas, menyiapkan tugasan dan membantu antara satu sama lain ketika berada di kolej,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali, berkata daripada keseluruhan pelajar baharu, 1,885 adalah pelajar lelaki.
Katanya, semua pelajar baharu mendaftar di kampus induk, Parit Raja dan kampus Pagoh, Muar, membabitkan pelbagai bidang pengajian menerusi lapan fakulti.

