Tahanan rumah memberi implikasi serius terhadap usaha membanteras rasuah – Transparency International Malaysia

KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah membawa implikasi serius terhadap usaha membanteras rasuah di negara ini.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Raymon Ram, berkata pihaknya menghormati kuasa pengampunan yang diperuntuk mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, sabitan Najib membabitkan RM42 juta sudah dikekalkan secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan.

“Kebimbangan ini bukan hanya berkaitan seorang individu.

“Layanan istimewa terhadap seseorang yang disabitkan dalam kes rasuah berprofil tinggi berisiko mengukuhkan persepsi bahawa individu yang mempunyai pengaruh atau kedudukan politik mungkin menerima hukuman yang berbeza berbanding pesalah biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.PauseNextMute

Raymon berkata, keputusan itu juga boleh mewujudkan jangkaan supaya layanan sama diberikan dalam kes rasuah berskala besar dan jenayah kewangan yang akan datang.

“Ia sekali gus berpotensi melemahkan kesan pencegahan dalam rangka kerja antirasuah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, keputusan berkenaan juga memberi implikasi terhadap kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah di peringkat antarabangsa.

“Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia, mengambil kira penilaian pakar dan golongan perniagaan terhadap rasuah dalam sektor awam serta keberkesanan institusi dalam menanganinya.

“Keputusan berprofil tinggi yang membabitkan soal akauntabiliti terhadap rasuah sememangnya menyumbang kepada persekitaran lebih luas yang membentuk persepsi berkenaan.

“Malaysia seharusnya terus memperkukuh keyakinan terhadap integriti institusinya, bukannya menimbulkan lebih banyak ketidakpastian mengenai sama ada akauntabiliti dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Raymon berkata, kredibiliti usaha membanteras rasuah di Malaysia akhirnya akan dinilai berdasarkan sama ada prinsip akauntabiliti, kesepadanan hukuman dan kesamarataan pada sisi undang-undang kekal kukuh apabila individu yang membabitkan mempunyai kuasa atau kedudukan.

“Negara sudah melaburkan usaha yang besar dalam memperkukuh tadbir urus dan membina semula keyakinan terhadap institusi.

“Kemajuan itu tidak seharusnya terhakis akibat persepsi mengenai layanan istimewa dalam kes yang menjadi simbol perjuangan Malaysia membanteras rasuah berskala besar,” katanya.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.