MELAKA: Saingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya menjadi punca permusuhan atau kebencian sesama pihak.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata siapa yang bakal mewakili Duyong akhirnya ditentukan rakyat di kawasan berkenaan, bukannya mana-mana parti atau individu.
“Siapa yang akan mewakili Duyong, akhirnya rakyat Duyong yang tentukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka bagi mengulas pelbagai reaksi terhadap kenyataannya sebelum ini, DAP akan bertanding lapan kerusi DUN.
“Kalau mahu bersaing, kita bersaing, bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Poay Tiong, persaingan politik tidak seharusnya membawa kepada usaha mencipta musuh atau menimbulkan kebencian, sebaliknya rakyat perlu diberi ruang mendengar, menilai dan membuat pilihan sendiri.

