Houthis cuba kuasai kawasan tanah tinggi strategik Yaman

RIYADH: Pejuang Houthi terus cuba menawan kawasan tanah tinggi strategik di Yaman bagi memutuskan hubungan antara pesisir Laut Merah dengan kawasan masih dikuasai pasukan Yaman disokong Arab Saudi.

Kemaraan itu berlaku selepas Houthi menawan pesisir Laut Merah Yaman dan mengukuhkan penguasaannya di sekitar Selat Bab al-Mandab susulan serangan pantas sebelum ini.

Kemaraan pantas kumpulan disokong Iran itu sudah meluaskan lagi konflik Asia Barat ke medan baharu, disamping semakin mengancam bekalan tenaga global.

AS setakat ini menolak rayuan berulang Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman untuk membantu dalam pertempuran di Yaman.

The New York Times melaporkan pentadbiran Trump sudah bersiap sedia melancarkan serangan pada Ahad terhadap Houthi pada Ahad, selepas menerima permohonan putera mahkota Arab Saudi itu.PauseNextUnmute

Namun, akhbar itu kemudian melaporkan Trump membatalkan serangan udara berkenaan pada saat-saat akhir, ketika tentera sedang memuatkan bom ke dalam pesawat.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas. Rumah Putih juga belum memberi sebarang maklum balas terhadap e-mel yang dihantar bagi mendapatkan ulasan.

Api dan asap menjulang dari kapal tangki minyak Sounion berbendera Greece yang terbakar sejak 23 Ogos selepas diserang militan Houthi di Laut Merah. - Foto REUTERS
Api dan asap menjulang dari kapal tangki minyak Sounion berbendera Greece yang terbakar sejak 23 Ogos selepas diserang militan Houthi di Laut Merah. – Foto REUTERS

Presiden kerajaan Yaman disokong Riyadh dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, Rashid al-Alimi, turut meminta bantuan ketenteraan AS melalui panggilan telefon dengan Trump pada Ahad, menurut empat sumber kepada Reuters.

Dua daripada mereka, seorang warga Yaman dan seorang warga Barat, berkata Trump tidak memberikan komitmen sokongan secara langsung ketika panggilan itu.

Riyadh dilaporkan buat kali pertama diserang pada Sabtu sejak peningkatan konflik bermula, dengan bunyi letupan kedengaran serta asap kelihatan berhampiran lapangan terbang.

Houthi berkata, mereka sudah melancarkan peluru berpandu ke arah Riyadh, pada masa sama tiada maklum balas diberikan pihak Arab Saudi.

Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, pada Isnin berkata, sudah bersetuju dengan permintaan Arab Saudi untuk menyediakan pengisian bahan api pertahanan bagi tempoh terhad, satu langkah yang disifatkannya membantu menstabilkan rantau.

Britain dan Arab Saudi sekutu ketenteraan rapat selama beberapa dekad, dengan Britain menjadi antara pembekal senjata terbesarnya.

Seorang wanita pelarian, Nabiha Salem, makan bersama anak-anaknya di sebuah kem sementara bagi penduduk yang dipindahkan akibat pertempuran antara pejuang Houthi yang bersekutu dengan Iran dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi, di wilayah Taiz, Yaman. - Foto REUTERS
Seorang wanita pelarian, Nabiha Salem, makan bersama anak-anaknya di sebuah kem sementara bagi penduduk yang dipindahkan akibat pertempuran antara pejuang Houthi yang bersekutu dengan Iran dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi, di wilayah Taiz, Yaman. – Foto REUTERS

Sumber diplomatik Perancis pula berkata, Paris sedia menyumbang kepada usaha melindungi infrastruktur tenaga Arab Saudi di Yanbu di pantai Laut Merah dan koridor saluran paip timur-barat.

Houthi, yang menguasai ibu negara Yaman sejak 2014 mendakwa, merampas pantai Laut Merah negara itu bulan ini.

Mereka mendakwa berjaya menewaskan pasukan kerajaan disokong Arab Saudi, selepas negara itu melancar ratusan serangan dalam tempoh beberapa hari ke atas kedudukan pejuang itu di kawasan tanah tinggi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 700 orang maut dan ribuan lagi cedera sejak pertempuran kembali memuncak.

Hampir 130,000 penduduk Yaman pula meninggalkan kediaman dan berpindah ke kawasan lain di dalam negara, sementara ribuan lagi melarikan diri dengan bot merentasi Laut Merah ke Afrika.

Menurut lima sumber tentera Yaman yang dipetik Reuters, Houthi kini cuba menguasai kawasan tanah tinggi strategik yang dikenali sebagai Pergunungan Kahboub di wilayah Taiz dan Lahij.

Kawasan itu memisahkan pesisir Laut Merah daripada selatan Yaman yang masih dikuasai pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa. – REUTERS