KOTA BHARU: Punca utama kejadian kes pembunuhan remaja lelaki etnik Rohingya di Taman Desa Kujid, di sini, Jumaat lalu dipercayai suspek mendakwa menerima arahan Tuhan sebulan sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat, berkata ia berdasarkan keterangan yang direkodkan daripada suspek utama berusia 31 tahun yang juga etnik Rohingya.
Suspek utama ditangkap di rumah sewanya di Pasir Mas, semalam dan kini ditahan reman.
“Setakat ini lima tangkapan dilakukan termasuk empat individu ditahan pada hari kejadian dan suspek utama ditahan semalam.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek utama yang dipercayai mempunyai masalah mental mendakwa mendapat ‘arahan Tuhan’ sebulan sebelum kejadian pada Jumaat lalu.PauseNextMute
“Suspek mungkin berhalusinasi dan suspek utama ini bekerja di lokasi sama dengan mangsa.
“Ketika kejadian tiada sebarang pergaduhan atau pergelutan berlaku, sebaliknya ketika itu mangsa sedang lepak sebelum didatangi suspek dan terus menetak mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusuff berkata, pihaknya juga akan menyiasat secara terperinci kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek yang ditahan kerana dikhuatiri palsu.
“Ini kerana tiga kad UNCHR milik mereka mempunyai tarikh lahir yang sama, tetapi berbeza tahun, jadi kita akan siasat secara terperinci,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun, yang ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Desa Kujia, Kampung Pok Boh di sini, awal pagi, Jumaat lalu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami luka hiris dan tetak di leher.

